Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar serah kepada badan siasatan siasat isu dana RM600 bilion semasa era PN

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada badan siasatan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion (S$185 bilion) yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan pada Isnin (5 Dis), beliau berkata Kementerian Kewangan sudahpun memaklumkan mengenai beberapa pelanggaran melibatkan isu dana itu.

“Beberapa keputusan menyiasat langkah perbelanjaan RM600 bilion (S$185 bilion) tanpa tender itu bukan urusan saya untuk putuskan."

"Kementerian Kewangan memberi makluman beberapa pelanggaran itu tetapi ini kita serah kepada badan siasatan untuk lihat sejauh mana pelanggaran rasuah dan penyelewengan berlaku,” katanya.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion (S$185 bilion) ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lalu.

Pada Isnin, mantan Perdana Menteri Malaysia, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata beliau tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion (S$185 bilion) ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Encik Muhyiddin berkata ini kerana beliau tahu beliau tidak melakukan penyelewengan duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk digunakan bagi membantu orang ramai semasa zaman susah, terutamanya ketika pandemik COVID-19.

Ditanya adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan diwujudkan berhubung isu dana RM600 bilion (S$185 bilion), Encik Anwar berkata perkara itu belum dibawa untuk perbincangan dengan Jemaah Menteri.

“Saya tahu makluman daripada pegawai, ada beberapa pelanggaran serius… perolehan terlampau banyak untuk uruskan projek,” katanya.

Encik Anwar bagaimanapun menjelaskan beliau tidak cenderung untuk menyerang secara peribadi dan memberi tumpuan terlalu banyak tentang pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Saya ingin tumpu urus ekonomi negara, beri keyakinan (kepada pelabur) dan sekarang nampak baik pelaburan India, China, Amerika Syarikat dan Eropah untuk jana petumbuhan ekonomi,” katanya.

Mengenai keputusan Polis Diraja Malaysia menyiasat isu berkaitan perkauman dan keagamaan, beliau berkata perkara itu bukan arahan beliau atau Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

“Ini ketetapan dalam perlembagaan dan kenyataan tegas Majlis Raja-Raja Melayu iaitu kewaspadaan terhadap memainkan sentimen perkauman dan sikap pelampau agama."

Arahan itu dari Raja-Raja Melayu untuk patuhi perlembagaan dan ini tidak boleh disamakan dengan kritikan terhadap perdana menteri dan kerajaan.

“Saya pun tidak pernah arahkan (isu perkauman dan keagamaan disiasat), malah beritahu Ketua Polis Negara bahawa kritikan kepada perdana menteri dan kerajaan dalam sistem demokrasi dibenarkan dan diizinkan,” katanya.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan