Skip to main content

Dunia

PM M'sia Anwar saman Menteri Besar Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Anwar saman Menteri Besar Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Dec 2022 09:36PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Selasa (13 Dis) memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan kelakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah 'Jelajah PN Best Tambun’.

Encik Anwar, 75 tahun, selaku plaintif, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S. N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Encik Muhammad Sanusi, 48 tahun, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Encik Anwar mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Encik Anwar berkata ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 November lalu, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

Menurut Encik Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Encik Anwar berkata akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan.

Encik Anwar berkata pada 16 November lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Disember lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan tersebut.

Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam  S.N. Nair, yang mewakili Encik Anwar, ketika dihubungi Bernama, berkata saman itu difailkan pada pukul 4.30 petang Selasa. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita