Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar saman ketua PAS Perak berhubung ucapan berbaur fitnah berkaitan LGBT, ideologi komunis

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Anwar saman ketua PAS Perak berhubung ucapan berbaur fitnah  berkaitan LGBT, ideologi komunis

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kiri) dan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria (kanan). (Gambar: Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria berhubung ucapan dibuatnya yang didakwa mengaitkan presiden PKR itu dengan budaya songsang LGBT dan menyokong ideologi komunis.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Taiping menerusi Tetuan S N Nair & Partners dengan menamakan ahli DUN Gunong Semanggol, Razman sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Encik Anwar selaku plaintif mendakwa, pada 6 Nov lepas, semasa berkempen pada pilihan raya umum ke-15 di pasar malam Tebuk, defendan membuat ucapan berkenaan yang disiarkan secara langsung dalam Facebook defendan menggunakan nama "Haji Razman Zakaria" yang menarik lebih 94,400 tontonan, 2,600 komen, 5,100 reaksi dan 256 perkongsian sehingga hari ini.

Video Facebook itu kemudian diterbitkan dalam bentuk rencana dalam sebuah portal berita pada 6 Nov berjudul "Razman dakwa Anwar bawa agenda LGBT, bimbang kerjasama PH-BN", dalam kedua-dua Melayu dan Inggeris.

Peguam Encik Anwar berkata, kenyataan fitnah dan rencana yang diterbitkan itu membawa maksud AP Tambun itu adalah seorang penipu, mengamalkan dan menyokong ideologi komunis serta menggalakkan perkahwinan sejenis.

Encik Anwar juga mendakwa kenyataan fitnah itu dibuat untuk merosakkan nama baiknya dan dakwaan dalam rencana itu adalah tidak benar kerana beliau sentiasa memperjuangkan ajaran dan nilai-nilai Islam serta mengecam semua dakwaan agenda LGBT selain memperjuangkan agenda reformasi yang lebih besar untuk tadbir urus.

Tambahnya, defendan mengeluarkan kata-kata fitnah itu dalam usaha mencemarkan nama baiknya dengan menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian terhadapnya dan parti sepanjang tempoh kempen PRU15.

Defendan juga telah melanggar Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan gagal memohon maaf atas tindakannya itu, kata Encik Anwar lagi.

Oleh itu beliau menuntut ganti rugi am, pampasan dan memohon perintah injunksi bagi menghalang Razman atau ejennya daripada terus mengulangi atau menyebabkan penerbitan rencana memfitnah yang serupa selain menuntut kos, faedah dan relif lain yang sesuai.

Peguam Encik Anwar, SN Nair mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.
Sumber : Bernama/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan