Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar Ibrahim pimpin Kerajaan Perpaduan merangkumi PH, BN dan GPS; pastikan pintu terbuka bagi yang lain

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Anwar Ibrahim pimpin Kerajaan Perpaduan merangkumi PH, BN dan GPS; pastikan pintu terbuka bagi yang lain
Diterbitkan : 24 Nov 2022 10:06PM Dikemas Kini : 25 Nov 2022 01:32AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berkata pada Khamis (24 Nov) bahawa beliau akan memimpin sebuah Kerajaan Perpaduan, yang merangkumi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, beliau juga membuka pintunya kepada parti lain seperti Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRC) untuk menyertai sama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pertamanya sebaik mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 Malaysia.

Encik Anwar berkata: "Sudah saya tekankan bahawa kerajaan ini ialah Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan perpaduan nasional ini, setakat petang ini sebelum majlis angkat sumpah, terdiri daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak. Justeru, dengan majoriti ini dan kekuatan PH, (ia) adalah perikatan terbesar," katanya.

Beliau juga menarik perhatian bahawa kerajaan perpaduan itu turut termasuk Parti Warisan Sabah, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan ahli bebas lain.

"Sebagai Perdana Menteri yang mewakili semua rakyat Malaysia, semua kaum... saya terbuka untuk menerima parti-parti lain untuk menjadikan negara ini bersatu padu," kata Encik Anwar.

Beliau mengatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk PN yang diketuai oleh Encik Muhyiddin Yassin yang mempunyai 73 kerusi dan GRS dipimpin Encik Hajiji Noor yang mempunyai enam kerusi.

"Saya ingin bertanya kepada PN jika mereka bersedia untuk menyertai kami dalam kerajaan perpaduan ini," kata Encik Anwar.

Beliau menambah bahawa Malaysia telah menyaksikan "perubahan besar"

"Bukan hanya dalam pelantikan Perdana Menteri baru, atau pemimpin baru, tetapi harapan baru untuk Malaysia. Saya mahu mengangkat martabat rakyat, menamatkan rasuah dan salah guna kuasa serta memperjuangkan kehidupan rakyat."

Ketika ditanya sama ada jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada ahli politik BN, Encik Anwar enggan memberi jawapan yang jelas.

Beliau berkata memandangkan Perdana Menteri datang dari PH, peranan Timbalan Perdana Menteri akan dipegang oleh gabungan komponen lain dalam kerajaan perpaduan - BN dan GPS.

Encik Anwar ditemani isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Anggota Parlimen Bandar Tun Razak mengumumkan akan menunaikan janjinya untuk memotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata dengan pembentukan kerajaan perpaduan, keyakinan pelabur telah pulih di Malaysia, seperti yang dibuktikan oleh bagaimana saham telah pulih pada Khamis.

Beliau juga mengisytiharkan Isnin depan sebagai cuti umum di Malaysia sementara sidang parlimen akan datang  berlangsung pada 19 Dis.

 

Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan