Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar Ibrahim mohon penjawat awam bersabar di tengah gesaan bagi kenaikan gaji

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Golongan penjawat awam diminta bersabar berhubung soal kenaikan gaji kata Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, tindakan itu perlu dilihat secara menyeluruh selain perlu melihat kepada kedudukan ekonomi serta hutang negara itu.

"Masalah kita hutang ada sebanyak RM1.5 trilion (S$450 bilion) dan defisit 5.6 peratus dan kalau kita tambah gaji defisit jadi 6.5 peratus. Kesannya tiada pelabur luar akan datang melabur di negara kita.

"Jadi saya mohon sabarlah sekejap kerana kita cuba curahkan daripada apa hasil yang kita ada," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Forum Antarabangsa mengenai Islamofobia di Putrajaya pada Isnin (27 Feb), dipetik daripada Astro Awani.

Mengulas lanjut, Encik Anwar turut berkata, isu kemiskinan tegar juga perlu diutamakan selari dengan usaha kerajaan untuk menoktahkan masalah berkenaan.

"Apakah tidak penting untuk kita selamatkan orang miskin tegar yang lebih teruk daripada semua pekerja-pekerja yang ada?

"Bagi saya, pesawah padi, pekebun getah, dan nelayan ini semua golongan miskin tegar kerana mereka semua ini nak hidup memang susah," katanya lagi, lapor agensi berita Astro Awani.

Baru-baru ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan kekecewaan apabila Belanjawan 2023 yang baharu dibentangkan dilihat tidak mampu menyelesaikan tekanan kos sara hidup yang didepani penjawat awam.

Malah Presidennya, Adnan Mat, berkata tiada sebarang komitmen yang diberikan oleh kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan