Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar Ibrahim bakal umumkan barisan Kabinet petang Jumaat

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Anwar Ibrahim bakal umumkan barisan Kabinet petang Jumaat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 02 Dec 2022 04:21PM Dikemas Kini : 02 Dec 2022 04:34PM
IPOH: Barisan Kabinet akan diumumkan lewat petang Jumaat (2 Dis), kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.
Beliau berkata senarai penuh barisan Kabinet sudahpun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi Jumaat untuk perkenan agar pelantikan segera dapat dilaksanakan.

“Pilihan kita terbatas kerana seperti saya umum sebelum ini, kita tidak mahu terlalu ramai menteri atau duta bertaraf menteri supaya perbelanjaan dapat dikurangkan."

“Saya mohon mereka (Jemaah Menteri) ini kekal berkhidmat agar kita dapat memberikan fokus dan tumpuan kepada ekonomi,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di sebuah majlis kenduri rakyat yang diadakan bersebelahan Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, di Ipoh pada Jumaat.

Encik Anwar berkata barisan Kabinet akan dipanggil ke mesyuarat khas pada Isnin (5 Dis) nanti untuk penetapan peraturan-peraturan baru.

Encik Anwar berkata Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah berakhir dan kini adalah masa untuk kerajaan bekerja termasuk memberi peluang kepada beliau menunaikan tanggungjawab sebagai perdana menteri.

“Sekarang giliran saya. Bulan lalu, giliran orang lain. Tahun lalu, orang lain. Tiga empat tahun dulu pun orang lain. Jadi kita doakan orang ini (Anwar) kekal penuh sepenggal,” katanya.

Encik Anwar berkata kerajaan perlu memulihkan ekonomi termasuk menyediakan pendidikan lebih bermutu, menangani masalah kos sara hidup agar lebih terkawal serta menyediakan kemudahan kesihatan dan prasarana yang lebih baik.

“Saya syukur kepada Allah kerana kita telah pulihkan sedikit keyakinan pelabur antarabangsa dan dalam negara, malah ringgit juga diperkuat."

“Bila ringgit diperkuat itu bermakna kos import akan lebih berkurang seterusnya kos barang makanan seperti ayam dan baja dapat dikurangkan,” terang beliau.

Encik Anwar, yang juga Presiden PKR, memenangi kerusi Parlimen Tambun dalam pertandingan empat penjuru pada PRU15 dengan memperoleh majoriti 3,736 undi.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan