Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM M'sia Anwar hantar notis tuntut Ahmad Amzad mohon maaf

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengemukakan notis tuntutan terhadap Ahmad Amzad Hashim supaya Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu memohon maaf tanpa syarat kerana didakwa memfitnah beliau berhubung penerimaan gaji RM1 (S$0.31) ketika menjadi penasihat ekonomi Selangor dalam satu rakaman video.

Pengerusi Pakatan Harapan itu turut menuntut Encik Ahmad Amzad meminta maaf kerana mempertikai pengampunan yang diperoleh bagi sabitan kes beliau.

Tuntutan permohonan maaf itu dinyatakan dalam notis dihantar oleh Tetuan SN Nair & Partners, yang mewakili Encik Anwar, 75 tahun, kepada Encik Ahmad Amzad pada Khamis (8 Dis).

Peguam SN Nair ketika dihubungi mengesahkan sudah menghantar notis itu kepada Encik Ahmad Amzad melalui pos.

Menurut Encik Nair, anak guamnya menuntut agar video mengenai beliau di aplikasi TikTok di bawah nama @nelly3868 dan perkataan memfitnah ditarik balik selain memadam atau menarik balik segala komen yang menyinggung perasaan serta bersifat fitnah.

Beliau berkata Ahli Parlimen Tambun itu juga menuntut janji bertulis daripada Encik Ahmad Amzad untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam video tersebut selain ganti rugi.

“Sekiranya anak guam saya tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh lima hari daripada tarikh penerimaan notis ini, arahan kami adalah untuk memohon suatu perintah injunksi dan meneruskan tindakan perundangan terhadap Ahmad Amzad,” katanya.

Notis tuntutan itu mendakwa pada 7 Dis lalu, Encik Ahmad Amzad mengungkap atau menyebabkan penerbitan video tersebut yang telah mendapat tontonan lebih 2,928 kali, melebihi 45 komen, lebih 87 butang 'like,' melebihi 10 kali butang 'favourite' dan 21 kali perkongsian setakat tarikh notis berkenaan. 

Encik Nair mendakwa video dan kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud Anwar seorang pembohong, cenderung kepada perlakuan songsang dan telah mengguna pakai cara tidak sah untuk dibebas serta dilepaskan daripada sabitan jenayah.

Peguam itu berkata Encik Anwar menegaskan video dan kata-kata fitnah itu adalah tidak benar serta dibuat untuk merendahkan maruah beliau selain telah dirancang untuk memburukkan reputasinya.

"YB Ahmad Amzad juga telah mengaibkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan telah mencabar proses dan keputusan pengampunan penuh oleh YDPA dalam membebaskan, melepaskan dan membersihkan kesemua rekod jenayah dan sabitan lampau anak guam kami," katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan