Skip to main content

Dunia

PM Modi umum panel rombak sistem peperiksaan India susuli tunjuk perasaan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Modi umum panel rombak sistem peperiksaan India susuli tunjuk perasaan

Perdana Menteri India Narendra Modi semasa bercakap kepada media sebaik tiba untuk menghadiri hari pertama sidang Parlimen musim monsun di New Delhi, India, pada 20 Julai 2026. (Gambar: Reuters/Altaf Hussain/Gambar fail)

Diterbitkan : 27 Jul 2026 11:07AM
NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi pada Ahad (26 Jul) mengumumkan penubuhan sebuah pasukan bertindak yang diketuai usahawan teknologi Nandan Nilekani bagi merombak sistem peperiksaan negara itu, menyusuli beberapa minggu bantahan golongan belia berhubung kebocoran kertas peperiksaan.

"Sistem peperiksaan kita mesti boleh dipercayai, telus dan memanfaatkan teknologi secara maksimum," kata Encik Modi dalam kenyataannya yang dimuat naik ke Instagram.

Beliau turut mengumumkan rang undang-undang baharu bagi menangani kebocoran kertas peperiksaan yang akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin, termasuk mengetatkan undang-undang serta meningkatkan hukuman terhadap pesalah.

Ia merupakan kenyataan awam pertama Encik Modi sejak Menteri Pendidikan Dharmendra Pradhan meletak jawatan pada Sabtu lalu menyusuli bantahan oleh aktivis belia yang menuntut beliau berundur selepas kebocoran kertas peperiksaan pada Mei.

Encik Modi bagaimanapun tidak menyebut nama Encik Pradhan dalam kenyataan video berdurasi 30 saat itu.

'Gerakan lipas' Parti Janta yang diterajui golongan belia dan mengetuai tunjuk perasaan tersebut mengumumkan penamatan bantahan pada Sabtu selepas tuntutan mereka dipenuhi.

Pemerintah turut menerima tuntutan penunjuk perasaan untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem peperiksaan, termasuk menggugurkan kes polis terhadap peserta bantahan serta memberikan pampasan kepada keluarga pelajar yang meninggal dunia akibat bunuh diri selepas kebocoran kertas peperiksaan.

Encik Nilekani terkenal kerana mengetuai pembangunan sistem pengenalan digital India, Aadhaar, selain menjadi pengasas bersama syarikat perisian Infosys.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita