PM Malaysia arah PDRM jamin kelancaran himpunan 'Turun Anwar’
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap di Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan pada 24 Julai 2025. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
Arahan itu dizahirkan sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam menjunjung prinsip demokrasi dan Perlembagaan, termasuk menjamin hak bersuara bagi semua pihak, termasuk mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan.
“YAB Perdana Menteri menitipkan pesanan agar demonstrasi ini berlangsung secara aman dan tertib.
“Beliau telah mengarahkan pihak PDRM untuk membantu memastikan keselamatan awam terpelihara serta kelancaran perhimpunan dapat dibantu,” kata Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah dalam taklimat media PMO pada Khamis (24 Jul).
Tambahnya, Kerajaan MADANI kekal dengan pendirian bahawa suara pembangkang dan demonstrasi aman merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan matang, selagi ia tidak melanggar undang-undang serta tidak menggugat ketenteraman awam.
“Di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, ruang bersuara bukan sahaja dibuka luas, malah dihormati.
“Kerajaan tidak menyekat kritikan secara membuta tuli, tetapi meraikan perbezaan pandangan dengan semangat terbuka dan sikap bertanggungjawab,” katanya, menurut Astro Awani.
PM Anwar turut mengajak seluruh rakyat untuk terus menjunjung demokrasi dengan akal yang waras, semangat yang matang serta keikhlasan dalam berbeza pandangan.
“Kerajaan MADANI berdiri teguh bukan kerana menutup ruang kritikan, tetapi kerana membuka ruang toleransi dengan penuh ihsan dan istiqamah,” katanya, seperti dipetik Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.