PM Malaysia Anwar Ibrahim buat lawatan 'mengejut' ke bazar Ramadan
Sehari selepas menyatakan hasrat beliau untuk turun padang bagi meninjau harga dan kualiti makanan di bazar Ramadan, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim melakukan lawatan ‘mengejut’ di Bazar Ramadan Jalan Kuching, Taman City, pada Rabu (5 Mac).

PM Anwar beramah mesra dengan peniaga di Bazar Ramadan Jalan Kuching pada 5 Mac 2025. (Gambar: Bernama)
Dalam tinjauan beliau selama 40 minit itu, PM Anwar sempat beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung sambil bertanyakan mengenai cabaran yang mereka hadapi sepanjang Ramadan, khususnya berkaitan kos bahan mentah dan harga jualan makanan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Dr Maimunah Mohd Sharif turut menemani PM Anwar bagi lawatan tersebut.
Peniaga air tebu Amirul Sharifuden, 34, berkata kehadiran Encik Anwar di bazar itu adalah sesuatu yang tidak dijangka.
"Saya terkejut, tiba-tiba ramai orang berkumpul di depan gerai. Rupa-rupanya Perdana Menteri! Dia bertanya khabar dan tanya tentang jualan," kata beliau.
Peniaga karipap Muhammad Faiq Zainuddin, 27, pula teruja kerana buat kali pertama dapat melihat PM Anwar secara bersemuka.
"Selama ini hanya nampak di televisyen, tapi hari ini dapat lihat depan mata. Memang tak sangka!" kata Encik Faiq.
Pada Selasa, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Nashrul Abaidah, dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri berkata selain menyatakan hasratnya itu, Encik Anwar juga mengarahkan pemantauan harga makanan di bazar Ramadan dipertingkatkan bagi mengelak pihak tertentu daripada mengambil kesempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.