Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Lee gesa ASEAN kerjasama ke arah grid tenaga bersama

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee gesa ASEAN kerjasama ke arah grid tenaga bersama

(Gambar: Kum Seong Wan/iStock)

LABUAN BAJO, Indonesia: Menyusuli kejayaan projek penyepaduan tenaga Lao PDR- Thailand-Malaysia-Singapura, Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (10 Mei) menggesa ASEAN supaya terus bekerja ke arah grid tenaga bersama.

Satu grid tenaga serantau akan memperkukuh keselamatan tenaga dan daya bingkas negara anggota, dan melanjutkan usaha menghapuskan karbon serantau, kata PM Lee.

Projek Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapura itu menunjukkan bahawa perdagangan kuasa berbilang pihak di rantau ini boleh dilaksanakan", kata PM Lee semasa di sesi pleno sidang puncak ASEAN Labuang Baji, Indonesia.

Singapura mula mengimport tenaga boleh diperbaharui dari Laos menerusi Thailand dan Malaysia pada 23 Jun 2022.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada November memberikan kemas kini mengenai projek itu dalam satu jawapan bertulis parlimen.

Menurut beliau, lebih 170,000 jam megawatt tenaga elektrik sudah diimport ke Singapura dari Lao PDR dari 23 Jun hingga 31 Oktober tahun tersebut, dan aliran kuasa elektrik ini "stabil".

PERDALAM KERJASAMA DALAM EKONOMI DIGITAL

Di sesi pleno itu, yang topiknya ialah ASEAN Matters: Epicentrum of Growth, PM Lee juga berkata negara-negara anggota boleh meraih keuntungan ekonomi dengan mempertingkat ketersambungan dan kecelikan digital masyarakat.

Singapura amat menyokong usaha-usaha Indonesia untuk membangunkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, dan mengalu-alukan usulan Kenyataan Pemimpin mengenai perjanjian yang dijangka dikeluarkan lewat tahun ini, tambah beliau.

"Penyepaduan ekonomi sudah lama menjadi keutamaan ASEAN dan mesti sentiasa kekal sedemikian. Ia menggariskan pemusatan ASEAN," kata PM Lee.

"Kita perlu mengemas kini dan mempertingkat perjanjian teras kita seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, untuk memastikan ia relevan kepada amalan-amalan perniagaan yang berubah-ubah."

Menjangkaui isu-isu ekonomi, ASEAN juga mempergiat kerjasama berhubung isu-isu rentas negara," ujar PM Lee. Ini termasuk melindungi rakyatnya daripada ancaman rentas sepadan yang "kian sulit".

Sambil menambah bahawa kerjasama keselamatan siber perlu dipertingkat, PM Lee menarik perhatian kepada "kemajuan baik" yang dibuat dalam usulan Pasukan Respons Kecemasan Komputer Serantau ASEAN.

Usulan itu akan memperkukuh kerjasama siber serantau dan keupayaan respons insiden terhadap ancaman siber yang rumit," kata beliau.

Isu-isu utama yang akan dibincangkan di Sidang Punak ASEAN itu termasuk kod tatalaku berkait Laut China Selatan.

PERLU SOKONGAN KUKUH POLITIK

Memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang ini, bagaimanapun, memerlukan sokongan kukuh politik, kata PM Lee.

Memandangkan unjuran sejagat yang berdepan ketidaktentuan, ASEAN mesti "kekal bersatu padu di peringkat tinggi", termasuk dengan mendakapi visi yang dikongsi bersama bagi masa depan rantau ini.

PM Lee menyambut baik Kenyataan Pemimpin itu, yang mengesahkan komitmen bersama kepada Elemen Teras yang Diusulkan berhubung Visi Pasca-2025 yang diserahkan tahun lalu.

Visi itu menggesa ASEAN supaya kekal "terbuka, telus, inklusif dan berdasarkan peraturan, dengan pendampingan luar yang mendalam", serta untuk bekerjasama dalam bidang-bidang baru termasuk kemampanan, keselamatan siber dan ekonomi digital serta hijau.

Visi itu juga mahu memperkukuh institusi ASEAN, dan Singapura mengalu-alukan usaha-usaha untuk menyemak keupayaan persatuan tersebut dan keberkesanan institusi, ujar PM Lee.

Beliau menggesa agar proses-proses ASEAN disejajarkan dan dioptimumkan serta diperkukuhkan Sekretariat ASEAN dan peranan Setiausaha Agung ASEAN untuk mengupaya mereka supaya melaksanakan keutamaan utama dengan berkesan.

Sumber : CNA/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan