Skip to main content

Dunia

PM Korea Selatan mohon maaf selepas kebakaran pusat data hentikan khidmat awam

Anggaran Waktu Membaca:
PM Korea Selatan mohon maaf selepas kebakaran pusat data hentikan khidmat awam

Seorang pekerja berjalan di taman di Seoul, Korea Selatan, pada 10 September 2020. (Gambar fail: REUTERS/Kim Hong-Ji)

SEOUL: Perdana menteri Korea Selatan memohon maaf pada Sabtu (27 Sep) selepas kebakaran di pusat data negara menjejas beratus-ratus khidmat online pemerintah, termasuk pejabat pos dan sistem respons kecemasan.

Kebakaran bateri litium berlaku pada Jumaat malam di Jabatan Sumber Maklumat Kebangsaan di Daejeon, kira-kira 150 kilometer dari selatan Seoul, yang merupakan pusat sistem IT utama negara, menurut pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Korea Selatan menerima pelbagai kiriman teks kecemasan daripada pemerintah pada awal Sabtu, termasuk amaran bahawa beberapa khidmat online pejabat pos digantung akibat kebakaran dan bahawa 119 permintaan kecemasan dibuat melalui telefon - bukan melalui video atau kiriman teks.

"Oleh sebab sistem IT utama negara tertumpu kepada satu kemudahan, usaha memadam kebakaran agak sukar," kata Perdana Menteri Kim Min-seok, sambil menambah bahawa kebakaran itu sebahagian besarnya dapat dikawal.

"Mungkin ada kelengahan dalam memproses permohonan sivil atau gangguan dalam pengeluaran sijil, menyebabkan kesulitan dalam kehidupan seharian. Saya memohon maaf kepada rakyat atas kesulitan ini," tambahnya.

Menurut kementerian dalam negeri, 647 perkhidmatan online pemerintah masih digantung sehingga pagi Sabtu berikutan kebakaran itu, termasuk sistem pengenalan mudah alih, laman web pusat penerangan undang-undang negara, dan platform pemerintah untuk aduan dan petisyen.

Kebakaran menyebabkan sistem kawalan suhu dan kelembapan kemudahan itu gagal, meningkatkan kebimbangan pelayan menjadi terlalu panas, dan mendorong pemerintah untuk menutup operasi sebagai langkah proaktif bagi melindungi sistem IT di negara tersebut, menurut kementerian itu.

"Kami kini mengutamakan pemulihan sistem kawalan suhu dan kelembapan, selepas itu kami akan menghidupkan semula pelayan dan meneruskan langkah pemulihan," kata Naib Menteri Kim Min-jae kepada pemberita.

Pada 2022, lebih 50 juta pengguna aplikasi kiriman mesej mudah alih terbesar negara KakaoTalk mengalami gangguan khidmat besar selepas kebakaran di pusat data berlaku, mendorong sebuah syarikat memohon maaf dan menyeru pelan pencegahan yang diterajui pemerintah.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita