Skip to main content

Dunia

PM Kanada Mark Carney umum pilihan raya kilat, dakwa Trump cuba pecah belah Kanada

Rakyat Kanada akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum pada 28 April.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Kanada Mark Carney umum pilihan raya kilat, dakwa Trump cuba pecah belah Kanada

PM baharu Kanada, Mark Carney. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 08:46AM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 08:53AM
OTTAWA: Rakyat Kanada akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum pada 28 April.

Perdana Menteri baharunya, Mark Carney mengumumkan pada Ahad (23 Mac) untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal bagi mendapatkan mandat kukuh dari rakyat.

PM Carney berkata beliau mahukan mandat besar bagi menangani perang dagang dengan Amerika Syarikat dan ancaman Presiden Donald Trump, yang "mahu memecah belahkan Kanada supaya Amerika boleh menakluki kita".

Kenyataan Encik Carney itu memberi gambaran ketegangan antara Amerika Syarikat dengan Kanada, iaitu dua negara sekutu dan rakan kongsi perdagangan utama, telah meningkat sejak Encik Trump mengenakan tarif terhadap Kanada dan mengancam menjadikan negara itu negeri ke-51 Amerika.

Meskipun pilihan raya umum seterusnya hanya perlu diadakan sebelum 20 Oktober, Encik Carney berharap dapat memanfaatkan kemenangannya dalam persaingan untuk menjadi ketua Parti Liberal yang memerintah, sekitar dua minggu lalu.

Selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, pada 14 Mac menggantikan Justin Trudeau, Encik Carney berkata beliau boleh bekerjasama dan menghormati Encik Trump.

Namun pada Ahad (23 Mac), Encik Carney mengambil pendekatan lebih agresif.

"Kita sedang berdepan krisis paling besar dalam kehidupan kita disebabkan oleh tindakan perdagangan Presiden Trump yang tidak wajar dan ancamannya terhadap kedaulatan negara," kata Encik Carney kepada wartawan selepas gabenor jeneral, iaitu wakil peribadi Raja Charles, ketua negara Kanada, meluluskan permohonannya untuk mengadakan pilihan raya.

"Respons kita ialah untuk membina ekonomi yang kukuh dan negara Kanada yang lebih selamat. Presiden Trump mendakwa Kanada bukan sebuah negara yang sebenar. Beliau ingin memecahbelahkan kita supaya Amerika boleh menakluki kita. Kita tidak akan membiarkan itu berlaku," kata Encik Carney.

Rumah Putih tidak segera menjawab permohonan untuk mengulas komen Encik Carney itu.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita