Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Kanada ikrar lawan kumpulan pelampau sayap kanan selepas pembunuhan keluarga Muslim

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Selasa (8 Jun) berikrar untuk memperhebatkan usaha untuk memerangi kumpulan sayap kanan yang melampau, dua hari selepas serangan yang didorong oleh kebencian mengorbankan empat anggota keluarga Muslim di bandar London, Ontario.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Kanada ikrar lawan kumpulan pelampau sayap kanan selepas pembunuhan keluarga Muslim

Seorang penduduk Kanada beri penghormatan terakhir di luar Masjid Muslim London susuli serangan yang ragut 4 orang Islam di sana pada 7 Jun 2021 (Gambar: REUTERS/Carlos Osorio)

Diterbitkan : 09 Jun 2021 03:35PM Dikemas Kini : 09 Jun 2021 03:40PM

OTTAWA/LONDON: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Selasa (8 Jun) berikrar untuk memperhebatkan usaha untuk memerangi kumpulan sayap kanan yang melampau, dua hari selepas serangan yang didorong oleh kebencian mengorbankan empat anggota keluarga Muslim di bandar London, Ontario.

"Ini adalah serangan pengganas, yang didorong oleh kebencian, di dalam salah satu masyarakat kita," kata Encik Trudeau di Dewan Rakyat setelah bertafakur.

Keluarga itu, terbunuh pada Ahad apabila sebuah trak pikap menaiki bendul jalan dan merempuh mereka, menjadi sasaran kerana agama mereka, dedah polis Kanada. Mangsa merangkumi tiga generasi keluarga dan berumur antara 15 hingga 74 tahun. Seorang budak lelaki berusia 9 tahun yang selamat masih dirawat di hospital dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

London, sebuah bandar dengan sekitar 400,000 orang penduduk yang terletak di antara Detroit dengan Toronto, mempunyai masyarakat Islam yang besar dan sekurang-kurangnya tiga masjid.

Deretan bunga segar diletakkan di atas rumput di pintu masuk Masjid Muslim London, yang pernah dihadiri mangsa.

"Masjid Muslim London adalah masjid kedua tertua di Kanada ... Masyarakat (Islam) London di sini telah membantu membangunkan bandar ini," kata Omar Khamissa, pegawai pendampingan masyarakat Majlis Nasional bagi Muslim Kanada, sebuah badan bukan meraih untung.

"Ini adalah rumah mereka. Dan buat pertama kalinya mereka yang memakai tudung, yang berjanggut, merasa ini bukan rumah mereka," kata Encik Khamissa.

"Kami akan terus memerangi kebencian dalam dan luar talian ... (termasuk) mengambil tindakan tambahan untuk meleraikan kumpulan kebencian sayap kanan yang melampau itu, seperti yang kami lakukan dengan Proud Boys dengan menyertakannya ke dalam senarai pengganasan Kanada," kata PM Trudeau, yang dijadual menghadiri majlis memperingati mangsa pada Selasa di masjid tersebut.

Polis telah menahan seorang lelaki bernama Nathaniel Veltman, 20, di tempat letak kereta kira-kira 500 meter dari masjid. Dia memakai jaket perisai tubuh. Veltman, yang berkulit putih, didakwa dengan empat tuduhan pembunuhan dengan sengaja dan satu tuduhan percubaan membunuh. Pihak berkuasa sedang menilai kemungkinan tuduhan pengganasan.

'PADAH DAHSYAT'

Masjid tersebut telah meningkatkan langkah-langkah keselamatan setelah seorang lelaki bersenjata membunuh 51 orang pada 2019 di dua masjid di Christchurch, New Zealand, menurut Aarij Anwer, imam dan penyelaras pendidikan Islamnya.

"Kami sejak itu telah meningkatkan langkah keselamatan kami, dan sekarang ia diperketatkan lagi," kata Encik Anwer dalam temu bual menerusi telefon. "Islamofobia kian wujud secara senyap dan dizahirkan dari semasa ke semasa dengan padah yang dahsyat."

Serangan pada Ahad adalah yang paling teruk menimpa masyarakat Islam Kanada sejak seorang lelaki menembak mati enam jemaah di masjid Bandar Quebec pada 2017. Datuk Bandar London Ed Holder menyifatkannya sebagai pembunuhan besar-besaran terburuk dalam sejarah bandarnya.

"Masyarakat Islam tertanya-tanya, berapa ramai lagi nyawa yang perlu terkorban, berapa banyak keluarga yang akan dilanggar - dirempuh - di jalan raya, berapa banyak lagi keluarga yang akan terbunuh sebelum kita melakukan sesuatu?" Ketua pembangkang Parti Demokrat Baru Jagmeet Singh, orang etnik minoriti pertama yang memimpin sebuah parti politik utama Kanada, berkata di Dewan Rakyat setelah PM Trudeau berucap.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan