PM Jepun teruskan rancangan kurangkan cukai jualan makanan kepada 1%
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengarahkan parti yang memerintah meneruskan persiapan bagi mengurangkan cukai jualan makanan daripada lapan peratus kepada satu peratus selama dua tahun, bermula April tahun depan.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, bercakap kepada pihak media di kediaman rasminya di Tokyo pada 28 Julai 2026. (Gambar: Reuters/Kyodo)
Menurut seorang pegawai kanan parti kerajaan pada Khamis (30 Jul), langkah itu bertujuan membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup, namun dijangka memberi tekanan kepada kedudukan kewangan Jepun.
Susulan arahan tersebut, Parti Liberal Demokratik (LDP) akan memulakan perbincangan bagi mendapatkan persetujuan terhadap cadangan itu.
Kerajaan Jepun dijangka memuktamadkan pelan tersebut pada mesyuarat Kabinet awal Ogos sebelum membentangkan rang undang-undang berkaitan di Parlimen pada sesi musim luruh.
Setiausaha Agung LDP, Shunichi Suzuki, berkata terdapat komitmen politik yang kukuh untuk mengembalikan kadar cukai itu kepada lapan peratus selepas tempoh dua tahun.
Beliau turut berkata lebihan hasil kutipan cukai dijangka digunakan untuk membiayai langkah tersebut tanpa perlu menambah hutang negara.
Ketika ini, Jepun mengenakan cukai jualan sebanyak lapan peratus bagi makanan dan 10 peratus bagi barangan serta perkhidmatan lain.
Jika dilaksanakan, ia akan menjadi kali pertama Jepun menurunkan kadar cukai jualan sejak sistem itu diperkenalkan pada 1989.
Cadangan itu bagaimanapun menerima bantahan daripada sebahagian anggota kerajaan dan pembangkang yang bimbang tentang kesannya terhadap kedudukan kewangan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.