PM Jepun Shigeru Ishiba letak jawatan
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, mengambil keputusan untuk meletak jawatan bagi mengelakkan perpecahan dalam Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah, menurut penyiar awam NHK pada Ahad (7 Sep).
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, bercakap kepada media di Tokyo, Jepun, pada 18 Julai 2025. (Gambar fail: AP/Shuji Kajiyama)
Gabungan pimpinan LDP yang diketuai Encik Ishiba kehilangan majoriti di dewan atasan dalam pilihan raya pada Julai lalu.
Encik Ishiba, yang memegang jawatan sebagai perdana menteri sejak Oktober, menolak gesaan untuk berundur daripada pihak lawan dalaman partinya, yang kebanyakannya berhaluan kanan selama lebih sebulan.
Pada Selasa lalu, beliau mengulangi bahawa dirinya tidak berhasrat untuk meletak jawatan, sambil berkata bahawa beliau akan membuat keputusan pada "masa yang sesuai" tentang bagaimana untuk mengambil tanggungjawab ke atas kekalahan pilihan raya tersebut.
“Menangani cabaran yang perlu diberi perhatian segera oleh parti adalah salah satu cara untuk memikul tanggungjawab,” kata Encik Ishiba kepada para wartawan pada Selasa, merujuk kepada keperluan bagi langkah ekonomi buat mereka yang terjejas akibat inflasi atau tarif Amerika Syarikat.
Pembantu rapatnya pula, setiausaha agung LDP Hiroshi Moriyama, mengumumkan pada Selasa bahawa beliau akan meletak jawatan.
Pengumuman itu dibuat selepas LDP mengadakan mesyuarat bersama kedua-dua dewan parlimen untuk menilai kekalahan dalam pilihan raya dewan atasan.
Pejabat Perdana Menteri tidak memberi maklum balas segera terhadap permintaan ulasan daripada Reuters.
Di bawah pimpinan Encik Ishiba yang berkuasa sejak tahun lalu, gabungan pimpinan LDP kehilangan majoritinya dalam kedua-dua pilihan raya dewan parlimen, di tengah-tengah kemarahan para pengundi terhadap peningkatan kos sara hidup.
Anggota parlimen LDP dijadual mengundi pada Isnin bagi memutuskan sama ada ia akan mengadakan pemilihan kepimpinan luar biasa – yang, jika diluluskan, bakal dianggap sebagai undi tidak percaya terhadap Encik Ishiba secara tidak langsung.
Pada minggu lalu, pemerintah di bawah naungan Encik Ishiba memuktamadkan butiran perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.