Skip to main content

Dunia

PM Jepun Sanae Takaichi mungkin adakan pilihan raya awal, menurut rakan gabungan parti

Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi mungkin mengadakan pilihan raya umum lebih awal, kata ketua rakan gabungan partinya, Hirofumi Yoshimura, pada Ahad (11 Jan), selepas media melaporkan bahawa beliau sedang mempertimbangkan pengundian pada Februari.
Anggaran Waktu Membaca:
PM Jepun Sanae Takaichi mungkin adakan pilihan raya awal, menurut rakan gabungan parti
Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi (kanan) berjabat tangan dengan Hirofumi Yoshimura, pemimpin Parti Japan Innovation yang dikenali sebagai Ishin, semasa pertemuan mereka di kediaman rasmi perdana menteri di Tokyo, Jepun, pada 21 Oktober 2025. (Gambar: Kyodo menerusi REUTERS)
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi mungkin mengadakan pilihan raya umum lebih awal, kata ketua rakan gabungan partinya, Hirofumi Yoshimura, pada Ahad (11 Jan), selepas media melaporkan bahawa beliau sedang mempertimbangkan pengundian pada Februari.

Pilihan raya awal membolehkan Cik Takaichi, perdana menteri wanita pertama Jepun, memanfaatkan kadar sokongan tinggi yang dinikmatinya sejak memegang jawatan pada Oktober. Pendirian beliau yang tegas terhadap China menarik sokongan para pengundi berhaluan kanan, namun turut mencetuskan pertikaian diplomatik besar dengan jiran Asia yang berpengaruh itu.

Encik Yoshimura, pemimpin Parti Japan Innovation yang dikenali sebagai Ishin, memberitahu penyiar awam NHK bahawa beliau sudah bertemu dengan Cik Takaichi pada Jumaat dan merasakan bahawa pandangannya mengenai masa pilihan raya sudah beralih ke satu “peringkat” baharu.

“Saya tidak akan terkejut jika beliau membuat keputusan seperti yang dilaporkan oleh media,” kata Encik Yoshimura. Akhbar Yomiuri melaporkan pada Jumaat, dengan memetik sumber pemerintah, bahawa Cik Takaichi sedang mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada 8 atau 15 Februari.

Encik Yoshimura berkata beliau dan Cik Takaichi tidak membincangkan secara khusus mengenai masa sebenar bagi sebarang pilihan raya.

Cik Takaichi, seorang konservatif tegar dan penyokong perbelanjaan besar, enggan mengulas tentang bila beliau akan mengadakan pilihan raya dalam satu temu bual bersama NHK yang dirakam pada Khamis dan disiarkan pada Ahad.

Beliau berkata beliau baru sahaja mengarahkan para menteri kabinetnya supaya memastikan pelaksanaan tepat pada masanya bagi belanjawan tambahan untuk tahun kewangan ini, serta kelulusan Parlimen bagi belanjawan tahun kewangan yang bermula pada April.

“Buat masa ini, saya memberi tumpuan kepada cabaran segera untuk memastikan orang ramai merasai manfaat daripada dasar-dasar rangsangan kami yang bertujuan mengurangkan kesan inflasi,” kata beliau.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita