PM Jepun rancang umum letak jawatan pada Ogos
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba merancang untuk meletak jawatan selewat-lewatnya hujung bulan depan, lapor akhbar Mainichi pada Rabu (23 Jul).
Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba menghadiri sidang media di ibu pejabat Parti Demokratik Liberal (LDP) di Tokyo pada Isnin (21 Jul 2025). (Gambar: Philip Fong/Pool menerusi AP)
Encik Ishiba sedang berdepan tentangan yang semakin meningkat dalam Parti Demokratik Liberal sendiri berhubung ikrarnya untuk kekal memegang jawatan tersebut walaupun pemerintah kalah teruk dalam pilihan raya pada Ahad (20 Jul).
Menurut akhbar Yomiuri, Encik Ishiba memberitahu sekutu rapatnya pada lewat petang Selasa (22 Jul) bahawa beliau akan menjelaskan bagaimana beliau akan bertanggungjawab atas kekalahan dalam pilihan raya itu sebaik sahaja huraian dicapai dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
Dalam catatannya di platform Truth Social pada Rabu (23 Jul), Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau baru selesai mencapai perjanjian "besar-besaran" dengan Jepun yang termasuk pelaburan bernilai AS$550 bilion (S$703.2 bilion) di Amerika.
Bercakap selepas catatan Encik Trump dimuat naik, Encik Ishiba berkata beliau bersedia untuk bertemu atau berbincang menerusi panggilan telefon dengan Encik Trump selepas diberi taklimat mengenai butirannya oleh perunding kanan Jepun, Ryosei Akazawa yang berada di Washington bagi rundingan perdagangan.
"Saya tidak boleh katakan apa-apa sehingga saya teliti hasil perjanjian itu," kata Encik Ishiba kepada para wartawan apabila ditanya bagaimana perjanjian dengan Washington akan menjejas keputusannya untuk meletak jawatan.
Semasa menjelaskan keputusannya untuk mengekalkan jawatan tersebut, Encik Ishiba turut menekankan betapa pentingnya untuk mengelakkan vakum politik, sedang Jepun berdepan cabaran termasuk rundingan perdagangan yang sukar dengan Amerika Syarikat dan kesannya terhadap ekonomi negara itu yang bergantung kepada eksport.
"Saya akan terus memegang jawatan ini dan berusaha sedaya upaya untuk melakar hala tuju ke arah huraian terhadap cabaran ini," kata Encik Ishiba dalam sidang media pada Isnin, sambil menambah beliau merancang untuk berbincang secara langsung dengan Encik Trump bagi mencapai manfaat sebaik mungkin untuk Jepun.
Encik Ishiba juga dijangka akan mengadakan rundingan dengan beberapa anggota kanan dalam partinya pada Rabu bagi membincangkan keputusan pilihan raya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.