Skip to main content

Dunia

PM Jepun 'pertimbang semua kemungkinan' termasuk perintah berkurung baru

PM Jepun 'pertimbang semua kemungkinan' termasuk perintah berkurung baru.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Jepun 'pertimbang semua kemungkinan' termasuk perintah berkurung baru

Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga. (Gambar: Rodrigo Reyes Marin/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 04 Apr 2021 06:32PM Dikemas Kini : 04 Apr 2021 06:35PM

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga hari ini (4 Apr) berkata beliau akan meluaskan langkah-langlah kecemasan jika perlu untuk membendung gelombang baru jangkitan COVID-19 di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan varian baru.

Apabila ditanya di rancangan Fuji TV sama ada Tokyo mungkin dimasukkan ke dalam senarai kawasan, termasuk Osaka, yang akan dikenakan perintah berkurung mulai esok (5 Apr), Encik Suga berkata: "Semua kemungkinan sedang dipertimbangkan."

"Tidak kira khususnya di mana, kami akan mengambil tindakan tanpa teragak-agak jika perlu," kata beliau.

Jepun sedang bergelut dengan gelombang baru jangkitan COVID-19 menjelang temasya sukan Olimpik musim panas yang dijadual bermula Julai tahun ini, dengan kempen vaksinasi berskala besar bagi penduduknya belum lagi dimulakan.

Hari ini, 355 kes jangkitan baru dilaporkan di Tokyo, meskipun jumlah itu masih di bawah 2,500, yang dicatat semasa tempoh kemuncak pada bulan Januari.

Para pakar kesihatan berasa bimbang tentang kenaikan kes mutasi dalam kalangan mereka yang baru-baru ini diuji positif di sekitar Osaka.

Varian itu, yang diketahui muncul di Britain, dikhuatiri sangat mudah berjangkit.

Sebanyak 594 kes baru COVID-19 dilaporkan di wilayah Osaka hari ini, sehari selepas jumlah rekod 666 kes disahkan.

Pelbagai varian virus itu muncul di merata dunia sejak tahun lalu, termasuk mutasi E484 yang dikesan dalam banyak kes di Tokyo, menurut para pegawai.

Sekitar 70 peratus pesakit COVID-19 yang diuji di sebuah hospital di Tokyo pada bulan lalu adalah pembawa mutasi E484K, yang disebut sebagai "Eek"oleh sebilangan saintis dan diketahui mengurangkan perlindungan vaksin, menurut stesen penyiar awam NHK.

Mutasi "Eek" itu dikesan dalam 10 daripada 14 orang yang diuji positif bagi virus itu di Hospital Tokyo Medical dan Dental University pada bulan Mac, menurut laporan tersebut.

Selama dua bulan sehingga Mac, 12 daripada 36 pesakit COVID-19 membawa mutasi tersebut dan tidak seorang pun daripada mereka pernah melakukan perjalanan ke luar negara baru-baru ini mahupun ada kontak dengan orang-orang yang melakukan perjalanan ke luar negara, menurutnya.

Hospital tersebut bagaimanapun menyatakan tidak seorang pun pesakitnya yang membawa varian Britain itu.

Namun, tiada pegawai hospital yang dapat dihubungi untuk mengesahkan laporan tersebut. 

Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita