Skip to main content

Dunia

PM Jepun lawat tapak gempa di Kumamoto sedang penduduk berdepan cuaca panas ekstrem

Anggaran Waktu Membaca:
PM Jepun lawat tapak gempa di Kumamoto sedang penduduk berdepan cuaca panas ekstrem

Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi bertemu para mangsa yang dipindahkan semasa melawat sebuah pusat pemindahan di Hikawa, selatan Jepun, pada 3 Ogos 2026. (Gambar: AP/Kyodo News)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 10:00PM Dikemas Kini : 04 Aug 2026 08:10AM
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Isnin (3 Ogos) melawat wilayah Kumamoto yang dilanda gempa bumi, sedang kerja-kerja pembersihan dijalankan dalam cuaca panas ekstrem dan puluhan ribu isi rumah masih terputus bekalan air.

Ia merupakan lawatan pertama PM Takaichi ke kawasan tersebut sejak gempa bumi bermagnitud 7.1 melanda wilayah Kumamoto di pulau utama Kyushu, selatan Jepun, pada 28 Julai.

Seramai 38 orang terkorban dalam gempa tersebut, menurut para pegawai wilayah pada Isnin.

Ini termasuk seorang mangsa yang dipercayai meninggal dunia akibat strok haba ketika berlindung di dalam sebuah kereta dalam cuaca panas.

Punca kematian seorang lagi mangsa masih disiasat.

Para penduduk mula mengeluarkan timbunan serpihan, perabot yang rosak dan peralatan elektrik untuk dikumpulkan, sedang pembinaan perumahan sementara dimulakan di Uki dan Hikawa.

LEBIH 46,000 ISI RUMAH TERPUTUS BEKALAN AIR

Lebih 46,000 isi rumah masih terputus bekalan air, manakala ramai penduduk turut berdepan kekurangan bekalan bahan api.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh cuaca panas ekstrem yang meningkatkan kebimbangan mengenai penyakit berkaitan haba.

Agensi Meteorologi Jepun meramalkan suhu boleh menghampiri 40 darjah Celsius pada Isnin (3 Ogos).

Lebih 8,500 orang masih berada di pusat-pusat pemindahan kecemasan seperti pusat masyarakat, dewan sekolah dan bilik darjah.

Banyak kemudahan tersebut tidak dilengkapi alat hawa dingin.

Sebahagian penduduk pula tidur di dalam kereta di kawasan tempat letak kereta dewan bandar dan taman atau berada di luar kediaman masing-masing.

Para pakar sejak sekian lama memberi amaran bahawa kemudahan perlindungan yang tidak mencukupi selepas bencana boleh menyebabkan kesesakan serta masalah kebersihan dan privasi.

Cik Takaichi pada Isnin (3 Ogos) melawat sebuah pusat pemindahan yang dilengkapi katil kadbod, ruang pemisah dan alat hawa dingin.

Lawatan itu mencetuskan kritikan di media sosial bahawa keadaan di pusat berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar di kebanyakan pusat pemindahan lain.

114 CEDERA, 700 RUMAH MUSNAH

Gempa tersebut turut menyebabkan 114 orang cedera di seluruh Kumamoto.

Sekitar 700 buah rumah musnah, manakala lebih 11,300 bangunan mengalami kerosakan, menurut pihak berkuasa Kumamoto.

Dalam satu lagi perkembangan, sebuah syarikat yang mengendalikan kedai di sebuah pusat beli-belah yang runtuh mengakui telah mengarahkan dua pekerjanya kembali ke dalam bangunan sebelum mereka terbunuh dalam satu letupan.

Dua eksekutif Habita, pengendali sebuah kedai di Aeon Mall yang runtuh di Kashima, menghadiri upacara memperingati seorang mangsa pada Ahad (2 Ogos) dan meminta maaf kepada keluarganya.

Pengurus jualan syarikat itu, Goji Yuse, mengakui kedua-dua pekerja berkenaan diarahkan menyimpan hasil jualan di dalam peti besi sekiranya keadaan mengizinkan.

Pengendali pusat beli-belah itu percaya letupan tersebut berpunca daripada kebocoran gas.

Sekitar 3,000 pengunjung sudah dipindahkan ke kawasan tempat letak kereta selepas gempa berlaku, namun beberapa pekerja masih berada di dalam bangunan.

Pasukan penyelamat membawa keluar lima orang yang terselamat dan menemukan tujuh mayat di pusat beli-belah tersebut.
Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita