Skip to main content

Dunia

PM Jens-Frederik Nielsen beri amaran Trump masih berhasrat mahu tadbir Greenland

Perdana Menteri Greenland Jens-Frederik Nielsen memberi amaran pada Isnin (2 Feb) bahawa walaupun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menolak kemungkinan beliau akan menggunakan kuasa tentera, Washington secara asasnya masih berhasrat untuk mengambil alih dan mentadbir pulau Artik itu.
Anggaran Waktu Membaca:
PM Jens-Frederik Nielsen beri amaran Trump masih berhasrat mahu tadbir Greenland

Para penduduk membantah dasar Presiden Trump terhadap Greenland di hadapan konsulat Amerika di Nuuk, Greenland pada 17 Jan 2026. (Gambar fail: AP/Evgeniy Maloletka)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 03 Feb 2026 07:43AM
COPENHAGEN: Perdana Menteri Greenland Jens-Frederik Nielsen memberi amaran pada Isnin (2 Feb) bahawa walaupun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menolak kemungkinan beliau akan menggunakan kuasa tentera, Washington secara asasnya masih berhasrat untuk mengambil alih dan mentadbir pulau Artik itu.

Pada awal tahun ini, Encik Trump meningkatkan gesaan untuk Amerika Syarikat mengambil alih dan mentadbir Greenland sambil menyuarakan keprihatinan terhadap keselamatan pulau itu daripada ancaman dan pengaruh Rusia dan China.

Sesestengah negara sekutu NATO di Eropah mempertahankan kedaulatan Denmark terhadap Greenland dan berkata tekanan oleh Encik Trump akan memecahbelahkan pakatan NATO.

Encik Trump sudahpun menggugurkan ancamannya dan berkata bahawa Amerika sudah memperoleh akses sepenuhnya ke atas Greenland dalam satu perjanjian dengan NATO, walaupun butirannya masih belum jelas.

"AMERIKA MASIH MENCARI JALAN UNTUK MEMILIKI GREENLAND"

"Pandangan terhadap Greenland dan penduduknya masih belum berubah: Amerika Syarikat masih mahukan Greenland dan tetap mahu mentadbirnya," kata Encik Nielsen dalam ucapannya di Parlimen Greenland di Nuuk, menerusi seorang penterjemah.

Encik Nielsen berkata Amerika Syarikat masih mencari "jalan untuk memiliki dan mentadbir Greenland".

Pemerintah Greenland menyatakan pada minggu lalu bahawa ia sudah melancarkan tinjauan kesejahteraan mental penduduknya sedang mereka berdepan tekanan yang luar biasa ini.

"Sesetengah penduduk kami mengalami kesukaran untuk tidur, kanak-kanak juga dapat merasakan kebimbangan orang dewasa, dan kami semua hidup dalam ketidakpastian tentang apa yang akan berlaku pada keesokan hari," kata Encik Nielsen.

"Kami mahu menegaskannya dengan jelas: Ini benar-benar tidak boleh diterima."

DIPLOMASI KRISIS SUDAH BERMULA

Rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat, Denmark dan Greenland bermula pada minggu lalu dengan para pegawai kanan bertemu untuk membincangkan "bagaimana untuk menangani keprihatinan daripada Amerika Syarikat tentang keselamatan di Artik, sambil menghormati garisan merah negara itu," menurut Kementerian Luar Denmark.

Encik Nielsen juga memuji Denmark sebagai rakan rapat sepanjang krisis ini.

Beliau sebelum ini menyatakan jika rakyat Greenland terpaksa memilih antara Amerika Syarikat dengan Denmark, mereka akan memilih Denmark.

Ucapan itu tidak menyentuh tentang kemerdekaan bagi Greenland.

Bagi penduduk orang asli Inuit di Greenland, perbahasan mengenai pemilikan bercanggah dengan nilai budaya mereka.

Di bawah undang-undang Greenland, para penduduk boleh membina rumah tetapi tanah di mana rumah itu dibina bukan milik mereka, yang mencerminkan konsep kaum Inuit mengenai pengurusan tanah secara kolektif.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita