Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Israel bantah kuasa dunia berunding dengan rejim tegar Iran

Israel pada Ahad (20 Jun) mengecam pemilihan Ebrahim Raisi sebagai presiden baru Iran, sambil menyifatkan rejim bekas hakim itu akan menjadi "rejim pembunuh yang kejam" dan kuasa-kuasa dunia tidak seharusnya berunding dengannya bagi memeterai perjanjian nuklear yang baru.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Israel bantah kuasa dunia berunding dengan rejim tegar Iran

PM Israel Naftali Bennett mempengerusi sidang Kabinet pertama pemerintahnya di Baitulmakdis pada 20 Jun 2021. (Gambar: Reuters/Emmanuel Dunand, Pool)

Diterbitkan : 20 Jun 2021 08:00PM Dikemas Kini : 20 Jun 2021 08:05PM

BAITULMAKDIS: Israel pada Ahad (20 Jun) mengecam pemilihan Ebrahim Raisi sebagai presiden baru Iran, sambil menyifatkan rejim bekas hakim itu akan menjadi "rejim pembunuh yang kejam" dan kuasa-kuasa dunia tidak seharusnya berunding dengannya bagi memeterai perjanjian nuklear yang baru.

Encik Raisi, yang dikenakan sekatan-sekatan oleh Amerika Syarikat kerana mencabuli hak asasi manusia, meraih kemenangan dalam pilihan raya presiden Iran seperti yang dijangkakan pada Sabtu, dengan pilihan raya tersebut dibayangi oleh kegawatan ekonomi dan sekatan politik.

Perdana Menteri Israel Naftali Bennett, yang mengadakan sidang pertama Kabinet yang disiarkan di televisyen sejak mengambil alih kuasa minggu lalu, menyifatkan pelantikan Encik Raisi sebagai sesuatu yang diusulkan oleh Pemimpin Ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei dan bukan melalui undian bebas dan popular.

"Rejim pembunuh kejam tidak boleh dibenarkan memiliki senjata pemusnah raya," tegas PM Bennett. "Israel tidak akan mengubah pendiriannya mengenai hal ini."

Encik Raisi tidak pernah secara terbuka memberikan penjelasan berhubung tuduhan-tuduhan mengenai peranannya dalam apa yang disifatkan oleh Washington dan kumpulan hak asasi manusia sebagai hukuman mati di luar sistem keadilan yang dijatuhkan ke atas beribu-ribu tahanan politik pada 1988.

PM Bennett, anggota nasionalis yang menerajui sebuah pemerintah campuran, melanjutkan bantahan bekas perdana menteri Benjamin Netanyahu, terhadap perjanjian nuklear Iran 2015. 

Israel menganggap sekatan terhadap projek nuklear Iran sebagai terlalu longgar.

Pentadbiran bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersetuju dengan pendirian Israel lalu menarik diri daripada perjanjian tersebut. Presiden Joe Biden pula mahu merundingkan semula perjanjian itu. Iran bagaimanapun menolak keras dakwaan yang menuduhnya menyimpan cita-cita untuk menjana senjata nuklear.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan