Skip to main content

Dunia

PM Ismail Sabri tunai hasrat wartawan cilik

Impian 'wartawan cilik' Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, yang ingin bertemu empat mata dan menemu ramah Perdana Menteri Malaysia menjadi kenyataan pada Ahad (6 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
PM Ismail Sabri tunai hasrat wartawan cilik

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan-soalan yang diajukan Muhammad Haziq Mohd Asyraf, wartawan cilik yang tular di media sosial. (Gambar: BERNAMA)

ALOR SETAR: Impian 'wartawan cilik' Muhammad Haziq Mohd Asyraf dari Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah, yang ingin bertemu empat mata dan menemu ramah Perdana Menteri Malaysia menjadi kenyataan pada Ahad (6 Feb).

Kanak-kanak berusia 12 tahun itu dipertemukan dengan Encik Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel di Alor Setar dan diberi kesempatan menemu ramah pemimpin nombor satu negara itu.

Dalam sesi temu ramah itu, Muhammad Haziq bertanyakan beberapa soalan kepada Perdana Menteri berkaitan makanan kegemaran, rutin harian dan sama ada beliau mengenali juadah kampung.

Perdana Menteri turut ditanya mengenai perancangannya jika diberi peluang menerajui negara 10 tahun lagi dan Encik Ismail Sabri menjawab beliau berharap dapat menghapuskan kemiskinan serta miskin tegar menjelang 2025.

"Yang pertamanya, kita beri fokus untuk menjadikan ekonomi kita negara berpendapatan tinggi. Yang keduanya supaya kita boleh bantu masyarakat luar bandar, kita dapat hapuskan kemiskinan supaya tidak ada lagi orang miskin, miskin tegar, kita nak hapuskan dalam tahun 2025 nanti.

"Negara kita pun ke arah neutral karbon supaya tidak ada lagi kalau kita tengok kilang-kilang, asap dan sebagainya, jadi nak jadikan negara kita neutral karbon. Ini semua perancangan masa depan untuk rakyat seperti Haziq," jawab Perdana Menteri itu.

Selepas sesi temu ramah tersebut, Muhammad Haziq, yang ditemani ibunya, Nur Shakilla Zainol, 33 tahun, dan beberapa ahli keluarga lain memberitahu Bernama bahawa dia amat berbesar hati dapat berjumpa serta menemu ramah Perdana Menteri.

"Saya sangat berbesar hati dapat jumpa Perdana Menteri. Seronok dapat berjumpa Perdana Menteri Malaysia. Memang rezeki dapat jumpa Perdana Menteri.

"Saya lihat beliau seorang yang baik, penyayang dan handsome orangnya," ungkap Muhammad Haziq.

Sebelum ini, Bernama melaporkan hasrat Muhammad Haziq untuk bertemu Encik Ismail Sabri dan menemu ramah beliau jika diberi kesempatan.

Encik Ismail Sabri berada di Kedah untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara dan merasmikan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang pada Isnin.

BAGAIMANA MUHAMMAD HAZIQ TULAR

Muhammad Haziq sebelum ini meraih perhatian warganet dan menjadi popular selepas videonya, yang melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau, Sungai Petani, menjadi tular.

Video itu, yang dimuat naik ke Facebook Putra Mar pada 24 Januari lalu, mendapat 1.2 juta tontonan.

Penghidap talasemia itu turut mendapat perhatian Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan menghadiahkannya sebuah telefon bimbit.

Muhammad Haziq juga dihadiahkan sebuah tablet oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa selain menerima sumbangan persekolahan daripada pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan serta individu.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita