Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Ismail Sabri penuhi hajat pesakit barah tulang

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Seorang remaja perempuan yang menderita barah tulang tahap empat terkejut apabila Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob berkunjung ke kediamannya di Pangsapuri Megah Villa pada Isnin (17 Jan).

Nurshazrina Suryanto, 15 tahun, tidak menyangka hasratnya untuk bertemu dengan pemimpin nombor satu negara itu yang diluahkan kepada beberapa pihak sebelum ini akhirnya didengari dan pertemuan mereka diaturkan oleh Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said.

"Bersyukur sangat, tidak sangka dapat jumpa PM (perdana menteri), saya ucapkan terima kasih kerana sudi melawat saya sekeluarga walaupun jadual beliau sibuk.

"Beliau amat prihatin, ada tanya pasal kesihatan saya dan kata akan menyumbangkan komputer atau tablet untuk memudahkan saya belajar," kata pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sepang itu kepada Bernama.

Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama Nurshazrina dan keluarganya.

Suryanto Suradi, 46 tahun, pula berkata beliau tidak menyangka hasrat anak bongsunya tertunai jua kerana Nurshazrina sering meluahkan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri.

"Perjalanan anak saya masih jauh, banyak lagi rawatan yang perlu dilalui sebab doktor mengesahkan sel kansernya sangat aktif namun dengan pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini, ia akan menceriakan anak saya," katanya.

Bekas pemandu lori itu, yang kini tidak bekerja kerana menjaga anaknya sepenuh masa, berkata kos rawatan Nurshazrina di Hospital Kuala Lumpur ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor di samping bantuan lain yang dihulurkan.

Selepas menziarahi Nurshazrina, Ismail Sabri turut singgah ke pasar malam yang terletak berhampiran pangsapuri itu.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan