PM Ismail Sabri ajak pemimpin politik bersatu pulihkan negara demi 'keluarga M'sia'
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menyeru semua ahli Dewan Rakyat supaya bersatu dan menggembleng tenaga sebagai "keluarga Malaysia" untuk memulihkan semula negara.
Gambar fail: Ismail Sabri Yaakob/Facebook
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob menyeru semua ahli Dewan Rakyat supaya bersatu dan menggembleng tenaga sebagai "keluarga Malaysia" untuk memulihkan semula negara.
Ini ditekankan ketika beliau menyampaikan ucapan awam pertamanya sebagai perdana menteri hari ini (22 Ogos).
PM Ismail mengajak pemimpin politik tanpa mengira latar belakang ideologi supaya mencari persamaan dan tidak lagi menggali perbezaan, lapor Malaysiakini.
"Saya menyeru kepada seluruh ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.
"Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan. Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu keluarga Malaysia.
"Saya menggunakan pendekatan 'keluarga Malaysia' kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung petang ini.
KELUARGA M'SIA
Katanya, konsep 'keluarga Malaysia' diambil kerana keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.
Dalam ucapan itu juga, PM Ismail menawarkan peluang kepada pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Menurut Malaysiakini, beliau berkata ia selaras dengan arahan Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua pihak melupakan perbezaan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, PM Ismail berkata beliau sedar akan kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang mencengkam akibat wabak COVID-19.
"Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.
"Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.
"Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.