Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Britain ikrar lepaskan jawatan untuk selamatkan perjanjian Brexit

Perdana Menteri Theresa May menawarkan untuk meletak jawatan dalam usaha terakhir untuk mendapat sokongan parlimen bagi perjanjian Brexit. Beliau melakukan demikian setelah para Anggota Parlimen gagal memecah kebuntuan menyebabkan Britain terus dibelenggu krisis.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Britain ikrar lepaskan jawatan untuk selamatkan perjanjian Brexit

PM Theresa May dalam mesyuarat bersama para anggota parlimen partinya. (Gambar: HO/PRU/AFP)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 11:38AM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 11:42AM

LONDON: Perdana Menteri Theresa May menawarkan untuk meletak jawatan dalam usaha terakhir untuk mendapat sokongan parlimen bagi perjanjian Brexit. Beliau melakukan demikian setelah para Anggota Parlimen (AP) gagal memecah kebuntuan menyebabkan Britain terus dibelenggu krisis.

Berdepan dengan tiada pilihan lain dan risiko hilang kawalannya ke atas proses berpisah dari Kesatuan Eropah (EU), PM May secara mengejut mengumumkan bahawa beliau bersedia melepaskan jawatan jika para anggota parlimen menyokong perjanjian Brexit.

Tawaran itu dibuat beberapa jam selepas Dewan Rakyat membuat beberapa siri undian untuk mencari rancangan alternatif. Namun, langkah itu akhirnya hanya mendedahkan perpecahan di antara para AP.

Tiada satu pun daripada lapan usulan yang dibentangkan mendapat undian majoriti - satu keputusan yang menurut menteri Brexit Steve Barclay "mengukuhkan lagi pandangan bahawa perjanjian yang dirundingkan kerajaan kami adalah pilihan terbaik".

Para anggota parlimen sudah dua kali menolak perjanjian Brexit PM May, kedua-duanya dengan majoriti besar. Namun, PM May masih cuba untuk meyakinkan mereka - dan pada Rabu (27 Mac), mengumumkan apa yang dijangkakan tawaran terakhir daripadanya.

"Saya tahu ada keinginan untuk pendekatan dan kepimpinan baru dalam fasa kedua rundingan Brexit dan saya tidak mahu menjadi penghalang," katanya dalam satu mesyuarat bersama para anggota parlimen Parti Konservatif.

"Tetapi kini kami perlu memastikan perjanjian Brexit dilaksanakan. Saya bersedia untuk melepaskan jawatan ini lebih awal daripada yang dirancang supaya dapat melakukan apa yang wajar bagi negara dan parti kita."

PM May memeterai satu perjanjian dengan EU pada minggu lalu untuk menangguhkan Brexit di tengah-tengah kebimbangan Britain keluar daripada EU "tanpa sebarang perjanjian".

Jika perjanjiannya diluluskan para anggota parlimen pada minggu ini, Brexit akan berlaku pada 22 Mei - jika tidak, PM May perlu kembali ke Brussels sebelum 12 Apr untuk menjelaskan rancangan selanjutnya.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan