Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM baharu Jepun, Shigeru Ishiba bakal dilantik secara rasmi; dedah barisan kabinet

Anggaran Waktu Membaca:
TOKYO: Encik Shigeru Ishiba dijangka akan dilantik sebagai perdana menteri Jepun yang baharu pada Selasa (1 Okt) dan mendedahkan barisan kabinetnya sedang beliau berusaha untuk memulihkan perpecahan parti dan bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya pada 27 Oktober.

Mantan menteri pertahanan berusia 67 tahun itu, yang memenangi persaingan sengit untuk memimpin Parti Demokratik Liberal minggu lalu, hampir pasti akan dilantik sebagai perdana menteri kerana partinya memegang kuasa majoriti dalam parlimen.

Keputusan undian dijangka diumumkan sekitar pukul 1.40 tengah hari waktu tempatan yang kemudian Maharaja Jepun akan melantik Ishiba dan kabinetnya secara rasmi dalam satu upacara di Istana di Tokyo. Encik Ishiba juga dijangka akan mengadakan sidang media pada lewat Selasa.

Anggota Parlimen veteran itu, dilihat sebagai orang luar dalam partinya, yang gagal dalam empat percubaan untuk menjadi pemimpin parti tersebut sebelum ini, sudah mula memilih pegawai pemerintah dan parti yang akan bertanding bersamanya pada pilihan raya umum akan datang.

Setakat ini mereka termasuk dua pesaing untuk merebut jawatan pemimpin, Katsunobu Kato sebagai menteri kewangan dan Yoshimasa Hayashi untuk kekal sebagai ketua setiausaha kabinet, jawatan penting yang merangkumi peranan jurucakap tertinggi pemerintah, dua sumber memberitahu Reuters sebelum ini.

Sekutu rapat Encik Ishiba, Takeshi Iwaya, mantan ketua pertahanan, akan mengambil alih sebagai menteri luar negara, manakala Jen Nakatani akan kembali ke kementerian pertahanan, jawatan yang dipegangnya pada 2016, menurut kedua-dua sumber itu, yang meminta agar identiti mereka tidak didedahkan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media, sekali gus mengesahkan laporan media sebelum ini.

Yoji Muto, seorang mantan menteri, akan bertanggungjawab ke atas kementerian ekonomi, perdagangan dan perindustrian, dedah seorang lagi sumber.

Bagaimanapun, tidak termasuk dalam pilihannya ialah Sanae Takaichi, iaitu anggota konservatif yang dikalahkannya dengan 215 undi berbanding 194 pada Jumaat dalam persaingan paling sengit sejak hampir tujuh dekad yang lalu.

Ketiadaan Takaichi akan menyukarkan tugas Encik Ishiba untuk menguruskan parti yang berpecah-belah yang dilanda skandal yang telah menjejaskan sokongan awam terhadap parti tersebut.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan