Skip to main content

Dunia

PM baharu Britain digesa utamakan isu bekalan makanan setanding isu pertahanan dan tenaga

Britain hanya menunggu masa sebelum berdepan satu lagi kejutan bekalan makanan selepas bertahun-tahun bergelut dengan gangguan yang menyebabkan harga meningkat, menurut lebih 100 pertubuhan dalam sepucuk surat yang menggesa Perdana Menteri baharu Andy Burnham untuk menjadikan isu makanan sebagai keutamaan negara setanding pertahanan dan tenaga.

Anggaran Waktu Membaca:
PM baharu Britain digesa utamakan isu bekalan makanan setanding isu pertahanan dan tenaga

Perdana Menteri baharu Britain Andy Burnham. (Gambar: REUTERS/Isabel Infantes)

Diterbitkan : 30 Jul 2026 02:36PM Dikemas Kini : 30 Jul 2026 02:54PM
  • Lebih 100 pertubuhan termasuk peruncit utama dan pengeluar makanan menggesa Perdana Menteri baharu Andy Burnham memberi keutamaan kepada isu makanan di Britain.
  • Mereka mencadangkan pengenalan "Akta Makanan Baik" untuk memperkukuh jaminan bekalan, daya tahan sistem makanan dan kesihatan awam.
  • Surat tersebut menyorot gangguan berulang, kenaikan kos, perubahan iklim, dan ketegangan geopolitik yang menjejaskan sistem makanan serta menyebabkan harga meningkat.
  • Cadangan undang-undang baharu itu bertujuan mengurangkan obesiti kanak-kanak, meningkatkan pengeluaran tempatan, dan menangani ketidakjaminan bekalan makanan isi rumah.
Dijana oleh AI
LONDON: Britain hanya menunggu masa sebelum berdepan satu lagi kejutan bekalan makanan selepas bertahun-tahun bergelut dengan gangguan yang menyebabkan harga meningkat, menurut lebih 100 pertubuhan dalam sepucuk surat yang menggesa Perdana Menteri baharu Andy Burnham untuk menjadikan isu makanan sebagai keutamaan negara setanding pertahanan dan tenaga.

Antara pihak yang menandatangani surat tersebut ialah peruncit makanan Tesco dan Sainsbury's serta pengeluar produk tenusu Danone. Mereka menggesa Burnham supaya segera memperkenalkan "Akta Makanan Baik" bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan, daya tahan sistem makanan dan kesihatan awam.

Surat yang diterbitkan pada Khamis (30 Jul) itu menyatakan sistem makanan Britain telah berdepan gangguan berulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan para petani dan pengusaha ladang berdepan peningkatan kos serta tekanan yang semakin besar akibat perubahan iklim dan kemerosotan alam semula jadi.

Menurut surat itu, tekanan berkenaan secara bersama menyumbang kepada kenaikan harga makanan, yang dijangka meningkat 50 peratus menjelang November berbanding permulaan krisis kos sara hidup Britain pada 2021, menurut kajian Unit Perisikan Tenaga dan Iklim (ECIU).

"Kejutan bekalan makanan seterusnya bukan lagi persoalan sama ada ia akan berlaku, tetapi bila ia akan terjadi. Untuk menghadapinya dengan lebih baik, makanan tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara sampingan oleh kerajaan," menurut surat yang diselaraskan badan amal Food Foundation.

Surat tersebut turut memberi amaran bahawa kebakaran hutan di seluruh Eropah dan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak telah menyerlahkan betapa rapuhnya sistem makanan Britain, dengan penyakit berkaitan pemakanan turut mencecah paras rekod.

Rang undang-undang yang dicadangkan itu akan mewujudkan rangka kerja perundangan bagi dasar makanan, termasuk menetapkan sasaran untuk mengurangkan obesiti dalam kalangan kanak-kanak, meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, menambah pengeluaran hasil tempatan Britain serta mengurangkan masalah ketidakjaminan bekalan makanan bagi isi rumah.

Turut menandatangani surat tersebut ialah peruncit Aldi, Co-op dan Waitrose, pengeluar makanan Greencore serta syarikat pelaburan Rathbones.

Pada Mei, kerajaan Britain yang ketika itu dipimpin Perdana Menteri Keir Starmer menolak cadangan untuk menetapkan had harga mandatori di pasar raya.

Bagaimanapun, pihak kerajaan menyatakan bahawa ia sedang berbincang dengan sektor tersebut berhubung langkah untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup yang sebahagiannya didorong oleh perang Iran.
Sumber : Reuters/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita