Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Australia rombak kabinet jelang pilihan raya umum

Encik Anthony Albanese menyifatkan perubahan dalam kabinet itu sebagai langkah untuk memastikan kerajaan terus "kuat, bersatu dan stabil" menjelang pilihan raya umum yang harus diadakan sebelum Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Australia rombak kabinet jelang pilihan raya umum

Gambar fail: REUTERS/Lukas Coch

CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese mengumumkan rombakan kabinet pada Khamis (16 Jan) ekoran persaraan awal seorang menteri menjelang pilihan raya umum yang harus diadakan sebelum Mei, lapor Xinhua.

Encik Albanese menyifatkan perubahan dalam kabinet itu sebagai langkah untuk memastikan kerajaan terus "kuat, bersatu dan stabil" selepas peletakan jawatan Bill Shorten sebagai Menteri Skim Insurans Hilang Upaya Nasional (NDIS) dan Perkhidmatan Kerajaan.

Menteri Perkhidmatan Sosial Amanda Rishworth akan memegang portfolio tambahan sebagai Menteri NDIS, salah satu portfolio yang sebelum ini dikendalikan oleh Encik Shorten. Cik Anne Aly pula dilantik sebagai Menteri Pembantu kepada Menteri NDIS.

Selain itu, Menteri Kewangan Katy Gallagher akan mengambil portfolio tambahan sebagai Menteri Perkhidmatan Kerajaan, satu lagi portfolio yang sebelum ini dipegang oleh Encik Shorten.

Menteri Penjagaan Warga Emas dan Sukan, Anika Wells, turut dinaikkan pangkat ke dalam Kabinet, menurut pengumuman PM Albanese.

Majlis angkat sumpah akan diadakan di Canberra pada Isnin depan dengan gabenor jeneral dijadual mengesahkan perubahan tersebut.

Selepas 17 tahun berkhidmat di parlimen termasuk enam tahun mengetuai Parti Buruh Australia, Encik Shorten akan dilantik sebagai naib canselor di Universiti Canberra.

Mengulas mengenai persaraannya lebih awal daripada jangkaan, Encik Shorten memberitahu Australian Broadcasting Corporation yang keputusan itu tepat pada masanya, membolehkan perdana menteri melantik menteri baharu dan membentuk pasukan menjelang pilihan raya sebelum Parlimen bersidang semula pada 4 Feb.
Sumber : Bernama/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan