Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Australia, Jepun adakan rundingan di Perth, tingkatkan kerjasama keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Australia, Jepun adakan rundingan di Perth, tingkatkan kerjasama keselamatan

(Gambar: TREVOR COLLENS / POOL / AFP)

Diterbitkan : 22 Oct 2022 01:11PM Dikemas Kini : 22 Oct 2022 01:27PM
PERTH: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese bertemu rakan sejawatannya dari Jepun, Fumio Kishida pada Sabtu (22 Okt) bagi rundingan yang meliputi perjanjian pertahanan dan tenaga, lapor Reuters.

Mesyuarat tahunan pemimpin Australia-Jepun itu diadakan di Perth, ibu kota Australia Barat, di mana Encik Albanese dan Encik Kishida memeterai perjanjian kerjasama keselamatan, hasil kemas kini terhadap perisytiharan pertama yang dimeterai pada 2007.

Ia termasuk langkah menangani keadaan persekitaran keselamatan serantau yang kian berubah, menurut pegawai dua negara sekutu Amerika Syarikat (AS) itu pada Jumaat (21 Okt).

Sidang puncak itu adalah yang keempat bagi kedua-dua pemimpin, sejak Encik Albanese menjadi PM pada Mei.

Encik Albanese dan Encik Kishida juga dijadualkan membincangkan perubahan iklim dan sokongan kepada peralihan serantau bagi pelepasan sifar karbon, termasuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi tenaga bersih.

Beberapa rakaman di media sosial menunjukkan Encik Kishida menerima sambutan beristiadat pada Sabtu pagi.

Canberra dan Tokyo baru-baru ini mengukuhkan hubungan keselamatan sebagai tindak balas kepada kehadiran tentera China yang semakin meningkat di rantau itu.

Pada Mei, Encik Kishida dan Encik Albanese berikrar untuk bekerjasama ke arah pengisytiharan dua hala baru mengenai kerjasama pertahanan.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan