Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM arah tubuh jawatankuasa kos sara hidup, dedah Ahmad Zahid

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengarahkan penubuhan sebuah jawatankuasa pelaksanaan dan pemantauan kos sara hidup, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, beliau sendiri diarahkan oleh Perdana Menteri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut bagi memastikan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dapat dilakukan secara berterusan.

Katanya lagi kepada Astro AWANI, jawatankuasa itu akan memastikan kesinambungan kepada pengumuman yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini, termasuk berkaitan tarif elektrik, petrol serta langkah mengawal kekurangan bahan makanan asas.

“Saya telah bekerjasama dengan menteri-menteri tertentu yang menjaga portfolio mengenai kos sara hidup ini bersama-sama Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah serta lain-lain pegawai kanan kementerian untuk menangani permasalahan ini secara tuntas.

“Dan kita lihat dalam tempoh sebulan ini juga, beberapa pengumuman dilakukan dan perubahan-perubahan diumumkan selepas setiap mesyuarat mingguan Kabinet. Ini sudah tentu melegakan kebanyakan rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Persatuan Penganut Kuil Sree Maha Kaliamman hari ini.

Mengulas mengenai penangguhan pelantikan Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Encik Ahmad Zahid berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan prosedur pelantikan mengikut garis panduan yang akan ditetapkan.

“(Penangguhan) Itu telah dibuat berdasarkan penyelarasan kepada semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat lain di bawah kementerian serta agensi untuk disamaratakan pada tarikh yang akan ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri.

“Maka penyelarasan dibuat untuk semua jawatan, bukan hanya satu jawatan sahaja. (Ia) akan diumumkan sekali lagi,” katanya lagi.

Kenyataan Encik Ahmad Zahid itu juga sebagai mengulas keputusan Perdana Menteri untuk menangguhkan kesemua pelantikan bersifat politik ke dalam syarikat dan badan berkaitan kerajaan.

Sumber : Agensi berita/AW/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan