Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar yakin Kerajaan Perpaduan kekal kukuh hingga PRU16

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar yakin Kerajaan Perpaduan kekal kukuh hingga PRU16

Pengerusi GRS Hajiji Noor, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi PH Anwar Ibrahim, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal semasa acara memeterai perjanjian persefahaman kerjasama di bawah Kerajaan Perpaduan pada 16 Dis 2022. (Gambar: Jabatan Perdana Menteri Malaysia/BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Meskipun terdapat spekulasi mengenai pertukaran kerajaan atau perdana menteri yang dimainkan oleh sesetengah pihak, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat (5 Mei) menyuarakan keyakinannya bahawa pentadbiran yang diterajuinya akan kekal penuh sehingga pilihan raya akan datang. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang mendakwa pembangkang yang diiterajui oleh Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai akuan bersumpah (SD) yang mencukupi bagi membentuk kerajaan yang baru.

“Tunggu masa Parlimen, bawalah usul SD. Usul di parlimen tak ada masalah. 

“Ini tiap-tiap minggu dia jadi macam mengigau mingguan - sebelum puasa, sebelum raya, lepas raya, sebelum raya haji, sebelum Thaipusam, Tahun Baru Cina. 

“Insya-Allah, kita Kerajaan Perpaduan kekal penuh hingga pilihan raya akan datang,” Malaysiakini menukil Encik Anwar apabila ditanya berhubung spekulasi terdapat akuan bersumpah untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

Encik Anwar berkata demikian selepas menghadiri sambutan ulang tahun Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) di ibu pejabat PBSM, Kuala Lumpur pada Jumaat (5 Mei). 

Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan bahawa pembangkang sudah mempunyai SD yang mencukupi dan akan menamakan calon perdana menteri dalam masa terdekat.

Malah, pemimpin Bersatu Muhammad Faiz Na'aman beberapa hari lalu mengeluarkan kenyataan seolah-olah PN mempunyai sokongan 126 ahli parlimen untuk membentuk kerajaan, menurut Malaysiakini. 

Malaysia sebelum ini berdepan dengan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali selepas PH tumbang melalui rampasan kuasa Langkah Sheraton. 

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin terpaksa meletak jawatan selepas 17 bulan pada Ogos 2021 manakala naib presiden UMNO ketika itu, Ismail Sabri Yaakob pula membubarkan Parlimen selepas 15 bulan menerajui kerajaan. 

Walaupun PH memenangi kerusi terbanyak pada PRU15 Nov lalu , namun ia tidak mencukupi untuk PH yang diketuai oleh Encik Anwar membentuk kerajaan.

Ia terpaksa mendapatkan sokongan daripada BN, khususnya UMNO, GPS, GRS dan beberapa yang lain sebelum mampu menubuhkan kerajaan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan