PM Anwar umum Rancangan Malaysia ke-13 tumpu perhatian kepada pendigitalan, AI & sistem sosial inklusif
Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menjadi pemacu utama transformasi negara dengan menekankan peralihan menyeluruh ke arah pendigitalan, teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan sistem sosial.
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Julai di Puspanitapuri pada 21 Julai 2025. (Gambar: Bernama)
Dengan tema “Melakar Semula Pembangunan”, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata rancangan itu adalah titik tolak kepada usaha kerajaan mengangkat martabat rakyat dan generasi akan datang.
PM Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah ia akan menumpukan perhatian kepada tiga kebijakan utama, dengan berpaksikan tatakelola yang baik kepada pentadbiran negara dalam memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama.
Selain itu, meningkatkan kerencaman ekonomi secara menyeluruh kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi, lapor Astro Awani.
"Peralihan ini bermatlamat untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negara, umpama menaikkan siling atau bumbung. Tunjang utama peralihan ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju, terutama AI.
"Penekanan akan diberikan kepada pembangunan industri HGHV dan sektor strategik yang bernilai tinggi, pertumbuhan yang terangkum, mampan dan seimbang, serta pengukuhan kedudukan Malaysia di persada ekonomi dunia. Justeru, budaya mencipta menjadi agenda terpenting dalam melonjakkan penghasilan produk dan perkhidmatan tempatan yang berdaya saing," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis (31 Jul), menurut Astro Awani.
Encik Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menambah, kebijakan ketiga melibatkan pembangunan yang terangkum dan responsif dengan keutamaan untuk meningkatkan darjat kehidupan rakyat.
Jelas beliau, usaha akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial negara berteraskan insan Madani, mempertingkatkan mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar, lapor Astro Awani selanjutnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.