Skip to main content

Dunia

PM Anwar umum peruntukan tambahan RM50 juta bagi Kelantan, Terengganu

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar umum peruntukan tambahan RM50 juta bagi Kelantan, Terengganu

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Dec 2024 02:38PM Dikemas Kini : 01 Dec 2024 05:56PM
SETIU: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Ahad (1 Dis) mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta (S$7.5 juta).

Ini menyusuli keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri tersebut. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan digunakan bagi membaiki prasarana asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

Selain itu, Encik Anwar berkata Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menyediakan bantuan khas kewangan RM500 (S$150) kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri Terengganu, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM7.4 juta (S$2.2 juta).

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan, Kampung Telaga Papan, Setiu yang menempatkan 269 mangsa. 

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan sudah memperuntukkan kira-kira RM50 juta (S$15 juta) bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu, menerusi peruntukan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Peruntukan tambahan pada Ahad ini pula bertujuan membaiki infrastruktur serta kerja-kerja pasca banjir yang dijangka melibatkan kos yang tinggi.

“Untuk negeri lain kita sedang pantau, tidak mahu jadi salah faham... akan ikut keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan (negeri-negeri terkesan banjir) mengalami (kerugian) banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion (S$301.2 juta),” katanya.

Selain itu, Encik Anwar berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat meskipun situasi banjir terutamanya di Kelantan dan Terengganu semakin serius.

Beliau berkata ini kerana seluruh jentera pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan seluruh jentera Persekutuan, negeri dan daerah mampu menangani masalah bencana ini dengan baik.

“Jadi tidak ada keperluan sama sekali untuk diisytihar darurat,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita