PM Anwar umum agihan tunai RM100 bantu rakyat dewasa tangani kos sara hidup
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Rabu (23 Jul) mengumumkan langkah-langkah baharu untuk menangani kebimbangan awam mengenai kos sara hidup yang meningkat termasuk agihan wang tunai kepada semua rakyat dewasa dan janji untuk mengurangkan harga minyak.
Gambar fail Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim yang diambil di Kuala Lumpur, Malaysia pada 9 Julai 2025. (Gambar: Reuters/Hasnoor Hussain)
Pengumuman itu dibuat menjelang satu bantahan yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu (26 Jul), bagi menggesa PM Anwar supaya meletak jawatan ekoran kenaikan harga dan kegagalan untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.
Kerajaan pimpinan PM Anwar sudah melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan dan daya penghasilan tahun ini, termasuk menaikkan gaji minimum, menaikkan tarif elektrik terhadap pengguna elektrik tegar dan cukai jualan baharu ke atas sesetengah buah-buahan dan barangan mewah yang diimport.
Encik Anwar berkata langkah-langkah itu sebahagian besarnya menyasarkan perniagaan-perniagaan besar dan golongan kaya, namun para pengkritik meluahkan kebimbangan bahawa kos lebih tinggi akan disalurkan kepada para pengguna, termasuk golongan berpendapatan rendah dan golongan pertengahan.
Pada Rabu (23 Jul), Encik Anwar berkata semua rakyat dewasa berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan tunai sekali sahaja bernilai RM100 yang akan diagihkan mulai 31 Ogos.
Kerajaan akan memperuntukkan RM15 bilion (S$4.5 bilion) dalam bentuk bantuan wang tunai pada 2025, berbanding RM13 bilion (S$3.9 bilion) yang diperuntukkan sebelum ini bagi tahun ini, katanya.
Polis menyatakan pihaknya menjangkakan antara 10,000 dengan 15,000 orang akan menghadiri bantahan pada Sabtu ini, yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang.
"Saya sedia maklum tentang keluhan rakyat dan menerima kos sara hidup tetap merupakan satu cabaran yang harus ditangani, walaupun kita sudah mengumumkan beberapa langkah sejauh ini," kata Encik Anwar.
Beliau menambah inisiatif-inisiatif lanjut bagi membantu golongan miskin akan dilancarkan pada Khamis (24 Jul).
Encik Anwar berkata kerajaan Malaysia juga akan mengumumkan butiran mengenai pelan yang dinanti-nantikan untuk menghapuskan subsidi menyeluruh terhadap harga minyak RON95 sebelum akhir September.
Sebaik sahaja perubahan subsidi itu dilaksanakan, rakyat Malaysia akan melihat harga minyak turun kepada RM1.99 (S$0.60) seliter berbanding RM2.50 (S$0.76) sekarang, kata Encik Anwar.
Sungguhpun demikian, warga asing tetap perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi untuk minyak, tegas Encik Anwar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.