Skip to main content

Dunia

PM Anwar tubuh pasukan penasihat bantu Malaysia pengerusikan ASEAN

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar tubuh pasukan penasihat bantu Malaysia pengerusikan ASEAN

(Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

Diterbitkan : 16 Dec 2024 08:28PM Dikemas Kini : 16 Dec 2024 08:46PM
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sedang menubuhkan pasukan penasihat tidak rasmi untuk membantu negaranya yang dipilih sebagai pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan.

Menurut penganalisis, langkah tersebut merupakan usaha strategik untuk memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh serantau yang terkenal.

Antara nama yang dipetik termasuk mantan pemimpin Thailand Thaksin Shinawatra. Manakala Malay Mail melaporkan bahawa mantan Menteri Ehwal Luar Singapura George Yeo mungkin dipilih untuk menyertai kumpulan penasihat tidak rasmi tersebut.

"Saya sudah bersetuju untuk melantik (Thaksin) sebagai penasihat tidak rasmi saya dalam mempengerusikan ASEAN, dengan pasukan anggota dari negara ASEAN dalam penyediaan tidak rasmi," kata Encik Anwar semasa sidang media pada Isnin (16 Dis) di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya, yang memetik pengalaman luas jutawan Thailand berusia 74 tahun itu sebagai pemimpin.

Encik Anwar membuat pengumuman itu sambil mengalu-alukan rakan sejawatannya dari Thailand dan anak bongsu Encik Thaksin, Paetongtarn Shinawatra - yang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Menurut media tempatan, Encik Anwar mengesahkan pelantikan Encik Thaksin dicadangkan oleh kerajaan Malaysia dan sudah dipersetujui Thailand.

Penganalisis yang bercakap dengan Mediacorp berkata bahawa perkembangan terkini tidak menitikberatkan pelantikan rasmi, namun ia lebih kepada Encik Anwar "mempunyai suara yang dipercayai untuk mempertimbangkan isu-isu penting".

Zamil kanan dan penyelaras bersama Pusat Pengajian ASEAN di ISEAS - Institut Yusof Ishak Joanne Lin, memberitahu Mediacorp bahawa pelantikan Encik Thaksin sebagai sebahagian daripada pasukan penasihat tidak rasmi "masuk akal disebabkan hubungan rapat antara Malaysia dan Thailand".

“Ini terutamanya dalam menangani cabaran bersama di sempadan mereka, terutamanya dalam jenayah rentas negara seperti penyeludupan manusia dan dadah, serta jenayah siber.

“Isu-isu tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada Malaysia dan Thailand tetapi semakin lama menjejas Asia Tenggara, yang menjadikannya isu bagi ASEAN. Mencari penyelesaian serantau adalah penting, dan pengalaman Encik Thaksin sangat berharga,” katanya.

Sementara itu, Oh Ei Sun, zamil kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), percaya bahawa pelantikan Encik Thaksin mungkin bertujuan untuk memanfaatkan hubungan dan kepakarannya dalam menyokong Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, khususnya dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan dan diplomasi.

MENGESAHKAN PENDIRIAN MALAYSIA TERHADAP KRISIS MYANMAR

Zamil kanan Lin percaya pelantikan Encik Thaksin sebagai sebahagian daripada pasukan penasihat tidak rasmi mungkin juga dikaitkan dengan pengetahuan dan pengalamannya dengan Myanmar.

"Pengalaman Thaksin dengan landskap politik Myanmar, hubungannya dengan Myanmar dan pendekatan pragmatiknya boleh menambah nilai kepada usaha Malaysia untuk memajukan Konsensus Lima Perkara ASEAN," katanya.

Konsensus Lima Perkara adalah pelan damai disetujui blok 10 anggota itu, dengan harapan untuk menamatkan krisis di Myanmar, namun sebahagian besarnya tidak diendahkan oleh junta.

Sebelum ini, Encik Anwar menegaskan negara anggota perlu bersatu dalam menguruskan ehwal serantau, khususnya dalam menghadapi krisis di Myanmar.

Sementara itu, Abdul Rahman Yaacob, zamil penyelidik dalam Program Asia Tenggara di Institut Lowy, juga menekankan bahawa Encik Thaksin berada dalam "kedudukan unik" untuk membantu Malaysia dalam mencapai perjanjian damai di Myanmar.

Menurutnya, Encik Thaksin tidak seperti kerajaan Malaysia yang mempunyai pengetahuan terhad tentang kumpulan pemberontak di Myanmar, sebelum ini terlibat dengan pemimpin daripada kumpulan tersebut dan "diterima baik oleh junta".

Pada Mei tahun ini, akhbar The Nation Thailand melaporkan bahawa Encik Thaksin menawarkan dirinya untuk menjadi orang tengah bagi memudahkan rundingan damai antara semua pihak di Myanmar.

Encik Thaksin sudah menjalin hubungan bersama ketua junta sekarang Jeneral Min Aung Hlaing serta jeneral Myanmar lain ketika beliau bertugas sebagai perdana menteri pada awal 2000-an.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita