Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar "tersalah maklumat" jam tema pelangi terkait LGBT, kata CEO Swatch

Anggaran Waktu Membaca:

HAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Swatch Nick Hayek menekankan, dail jam tangan yang dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia tiada rujukan kepada golongan LGBT. 

Beliau memberitahu Malay Mail bahawa Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim "tersalah maklumat" mengenai perkara itu.

“Perdana menteri menyatakan dalam temu bual baru-baru ini bahawa koleksi terbaru jam tangan berwarna-warni Swatch termasuk huruf LGBT pada dail. Dia sebenarnya tersalah maklumat.

“Swatch tidak memasukkan sebarang rujukan kepada golongan LGBT pada dail Pride Collection tahun ini.

"Jam tangan berwarna-warni ini menyertakan makna setiap warna 'pride' (kehidupan, penyembuhan, cahaya matahari, alam semula jadi, keharmonian, semangat) pada jarum minit dan dua gelung yang membentuk pelangi," katanya.

Pada Khamis (25 Mei), Encik Anwar berkata jam tangan itu dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana mempunyai perkataan LGBT, lapor Malaysiakini. 

Bagaimanapun, Encik Anwar mengakui bahawa beliau tidak mempunyai semua butiran dan KDN akan mengeluarkan penjelasan.

Jam tangan itu dirampas dari kedai Swatch pada 13 Mei dan 14 Mei, didakwa melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia Artikel 19 menggesa Putrajaya memansuhkan atau memperbaharui PPPA berikutan rampasan jam tangan itu kerana undang-undang tersebut memberi kuasa menyeluruh kepada menteri dalam negeri dan membenarkan penggunaan sewenang-wenangnya.

Dalam hal ini, Artikel 19 berhujah bahawa PPPA membenarkan kebebasan bersuara disekat dan undang-undang itu boleh disalahgunakan untuk mengawal tingkah laku.

“Serbuan Swatch adalah amaran jelas untuk menakut-nakutkan orang LGBT supaya bersembunyi, daripada kerajaan yang diancam oleh tanggapan 'pride' dalam pelbagai jantina, identiti dan orientasi seksual.

“Serbuan itu sekali lagi menyumbang kepada permusuhan dan diskriminasi sedia ada terhadap golongan LGBTQ+, yang sudah berasa tidak selamat dan berisiko.

“Kesaksamaan mestilah untuk semua tanpa mengira jantina atau orientasi seksual seperti yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” tegas Artikel 19.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan