Skip to main content

Dunia

PM Anwar tegaskan tidak campur tangan kes Ahmad Zahid, Peguam Negara ada kuasa sepenuhnya

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan berhubung keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, daripada semua 47 pertuduhan dihadapinya.

Encik Anwar berkata peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes tersebut.

“Jaksa agung (peguam negara) ada wewenang (kuasa) sepenuhnya dan diberikan alasan-alasan. Saya berikan wewenang kepada jaksa agung, kerana dia bicara tentang 200 halaman permohonan baharu oleh Datuk Seri (Ahmad) Zahid.

“...ini keputusan jaksa agung jadi saya tidak campur,” katanya apabila ditanya media tempatan mengenai isu tersebut selepas Program Temu Anwar pada Selasa malam (5 Sep).

Ketika ditanya sama ada keputusan tersebut akan memberi persepsi tidak baik terhadap kerajaan, Encik Anwar berkata ia tidak menjejaskan kredibiliti kerajaan dan menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya yang keras membanteras rasuah.

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan DPM Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Encik Ahmad Zahid sebelum ini telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC), sebagai asas pertimbangan supaya pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari lepas, manakala yang terbaru, lengkap dengan fakta dan bukti baharu, dihantar kepada AGC pada Februari.
Sumber : Bernama/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita