Skip to main content

Dunia

PM Anwar tegaskan pendirian berpegang pada perlembagaan, utamakan kestabilan

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar tegaskan pendirian berpegang pada perlembagaan, utamakan kestabilan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 14 Sep 2026 09:44PM
KOZHIKODE: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui wujud pandangan politik yang agak tegas disuarakan sebahagian pimpinan mahupun perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU), tetapi beliau enggan mengambil jalan mudah yang boleh menggugat prinsip keadilan serta kestabilan negara.

Mengulas desakan segelintir pihak dalam perhimpunan itu yang menuntut tindakan agresif sehingga menyarankan pembubaran Parlimen atau menyingkirkan pihak tertentu, Encik Anwar menegaskan beliau tetap berpegang teguh pada lunas perlembagaan.

"Walaupun saya tahu ada pertimbangan politik, ada pandangan yang agak tegas daripada pimpinan UMNO, saya ambil kira itu semua. Bagi saya dalam soal menjalankan tugas, kita harus tunduk pada prinsip negara hukum dan apa yang dipersetujui dalam perlembagaan.

"Jadi saya hanya bagi pandangan, saya tidak pernah bersikap yang prasangka ataupun kebencian. Saya tahu kalau jalan mudah apa dia, jalan susah apa dia. Tapi saya ambil jalan yang saya anggap betul ikut lunas perlembagaan dan undang-undang.

“...serta apa yang kita anggap penting dari segi semangat, pengelolaan dan hukum dalam negara kita. Bagaimanalah hendak diterangkan kepada yang lain, ada kes-kes yang melibatkan RM10,000, (S$3,123) RM100,000 (S$31,180) yang masih didakwa," tegas beliau.

Menepis kebimbangan bahawa gesaan lantang daripada parti komponen itu mampu meretakkan Kerajaan Perpaduan, Encik Anwar mengibaratkan perbezaan pandangan itu seperti asam garam kehidupan sebuah rumah tangga yang masih terkawal.

"Saya memilih jalan yang agak susah sangat. Yang penting, kerajaan harus stabil kerana kalau tidak banyak kerugian kita di negara. Bagi saya itu yang penting.

"Saya lihat banyak juga suara yang kita dengar termasuk dari UMNO. Tapi kalau nak pilih suara-suara yang keras hanya kerana tidak ampunkan seseorang dan sebagainya, itu pandangan kita dengar semua.

“Tapi setahu saya, saya tidak lihat ada masalah, ada kecil-kecil biasa... macam rumah tangga pun ada masalah sedikit," tambah beliau bersahaja.

Encik Anwar menggulung lawatan kerja selama empat hari ke India (11 hingga 14 September 2026) yang merangkumi New Delhi dan Keralam bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia R Ramanan.

Beliau dijadual meneruskan siri lawatan rasmi merentasi Lautan Hindi menuju ke Malé, Republik Maldives selama dua hari bermula petang Isnin (14 Sep).
Sumber : Agensi berita/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita