Skip to main content

Dunia

PM Anwar tegaskan nilai ringgit rendah tidak jejas keyakinan pelabur

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi Malaysia hari ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 1998 kerana kedudukan negara itu ketika ini jauh lebih baik meski nilai ringgit merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Demikian menurut laporan Malaysia Kini pada 23 Februari 2023.

Menurut laporan tersebut, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pada 1998, selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi manakala tiada pelaburan asing masuk dalam negara.

"(Berbeza) ketika ini, ia perlu dilihat secara keseluruhan, (Malaysia) mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah, kadar inflasi terus menurun dan kadar pengangguran turut berkurangan.

"(Malah) pertumbuhan (ekonomi negara) adalah berdaya tahan sama seperti negara jiran,” katanya kepada media selepas merasmikan Menara Exchange 106, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sambil mengakui kejatuhan ringgit adalah membimbangkan, namun kata perdana menteri Malaysia itu, ia tidak menjejaskan keyakinan pelabur.

Ini memandangkan Malaysia baru-baru ini menerima jumlah pelaburan yang diluluskan tertinggi dalam sejarah negara. Namun, katanya, kerajaan tidak mengambil mudah atau tidak mengendahkan kejatuhan itu, dan usaha harian sedang dijalankan untuk meredakan keadaan tersebut.

“Kalau keyakinan (pelabur) itu kurang kerana ringgit, dia tidak akan ada pelaburan seperti ini,” kata Encik Anwar, yang juga menteri kewangan Malaysia, menurut laporan Malaysia Kini.

Semalam, Encik Anwar mengumumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara, sebanyak RM329.5 bilion (S$92.37 bilion) pada tahun lalu, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.

Daripada jumlah pelaburan tersebut, katanya, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik 42.8 peratus.

Selasa lalu (20 Feb), Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour berkata bahawa paras ringgit pada masa ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Katanya, prestasi ringgit baru-baru ini sama seperti mata wang serantau lain, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.

Setakat jam 12.15 tengah hari ini (23 Feb), ringgit diniagakan pada 4.775 berbanding dolar AS, menurut laman BNM.

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan Madani tidak memandang ringan isu penurunan ringgit, malah mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh.

Ketika menegaskan pendirian itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) sudah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi manakala di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan turut mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.

Pada masa sama, Perdana Menteri itu juga meminta semua pihak agar tidak membandingkan perkembangan semasa dengan keadaan pada 1998 yang tidak hanya menyaksikan penyusutan nilai ringgit, tetapi turut terjejas dari segi pelaburan dan inflasi.

“(Ya), penurunan ringgit itu membimbangkan. Kita melihat ke hadapan, namun berdasarkan angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran.

“Sehubungan itu, bagi saya, kita perlu melihatnya dari perspektif secara menyeluruh dan keupayaan negara untuk mencatat pertumbuhan. Apa yang paling utama bagi saya adalah memastikan angka-angka pelaburan ini.

“Mereka sering membandingkan dengan keadaan pada 1998 tetapi (perlu diingat) pada tahun itu ringgit merosot, inflasi meningkat, pengangguran tinggi dan tiada pelaburan,” kata beliau, lapor Malaysia Kini.

Encik Anwar berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Tun Razak Exchange sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini (23 Feb).
Sumber : Agensi berita/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita