Skip to main content

Dunia

PM Anwar tegas tidak letak jawatan, tekad pacu pembangunan negara

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar tegas tidak letak jawatan, tekad pacu pembangunan negara

(Gambar Fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Jul 2025 08:44AM Dikemas Kini : 20 Jul 2025 08:47AM
BAYAN LEPAS: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, selagi tidak terbabit dengan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

PM Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan beliau berpegang teguh kepada pendirian tersebut dan akan terus fokus menjalankan amanah untuk membangunkan rakyat serta negara.

“Insya-Allah saya tidak turun, kalau saya curi duit orang suruh turun, tak apalah. Tapi saya tidak curi duit orang.

“Saya jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun, mana ada kontrak (projek) kita bagi secara rundingan terus, semuanya melalui proses tender,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar pada Sabtu (19 Jul).

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) A. Rajendran.

Encik Anwar berkata sekiranya pembangkang mempunyai cukup sokongan, mereka boleh membawa usul di Parlimen mengikut saluran demokrasi sedia ada.

“Gunakan Parlimen, kritiklah. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul, itu caranya.

“Tariklah mana-mana Ahli Parlimen untuk sokong mereka. Kalau saya kalah, saya letak jawatan secara baik. Itu cara aman,” katanya.

Dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Mutiara, Encik Anwar turut menegaskan Kerajaan MADANI pimpinannya sedang bekerja keras untuk membangunkan negara termasuk menangani masalah kos sara hidup.

Menurutnya, pelbagai inisiatif sedang dilaksana termasuk peningkatan gaji minimum, bantuan kepada pesawah miskin, peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penambahan perumahan mampu milik untuk golongan B40 serta penambahbaikan skim gaji penjawat awam.

Beliau mengakui tidak mampu menyelesaikan semua permasalahan negara dalam tempoh singkat, namun kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.
Sumber : Bernama/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita