Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar tegas tidak akan keluar kenyataan PN terima dana judi jika tidak berasas

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim meminta Encik Muhyiddin Yassin membaca dengan lengkap kenyataannya berhubung dana judi yang didakwa melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Encik Anwar menegaskan, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan jika ia tidak mempunyai asas.

Dalam masa sama, beliau enggan membuat sebarang permohonan maaf seperti yang dituntut oleh mantan Perdana Menteri itu, lapor Astro AWANI.

“Baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tetapi kalau dia (Muhyiddin) nak bawa terus (ke mahkamah), silakan.

“Saya tidak akan keluarkan kenyataan kalau saya tidak ada asas. Dengar balik jawapan saya,” katanya kepada pemberita pada Sabtu (27 Mei). 

Beliau berkata demikian selepas berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Encik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, siasatan terhadap dakwaan dana tersebut masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

“Ia ada banyak agensi dan siasatan bila dah ada bukti, baru lah disebarkan atau diambil tindakan mengikut (perundangan).

“(Agensi lain ambil tindakan?) Itu biar agensi yang jelaskan,” tambah Perdana Menteri itu.

Pada Jumaat (26 Mei), Encik Muhyiddin memberitahu akan berbincang dengan peguamnya untuk mengambil langkah seterus terhadap kenyataan yang dibuat oleh Encik Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi PN itu juga meminta Encik Anwar membuat permohonan maaf, sebelum beliau mempertimbangkan untuk sebarang tindakan lanjut.

Pada Khamis (25 Mei), Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said dalam kenyataan bertulis memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur penerimaan rasuah termasuk sumber dana oleh parti kerajaan ketika itu seperti yang didakwa.

Cik Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun, agensi itu mendapati maklumat tersebut terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Begitupun, pada Jumaat, Cik Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihenti atau digugurkan.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan