Skip to main content

Dunia

PM Anwar setuju 4 langkah intervensi tambahan tangani isu beras

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim bersetuju empat langkah intervensi tambahan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan beras dalam negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia Mohamad Sabu berkata, langkah itu termasuk mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meningkatkan pengedaran beras putih tempatan ke kawasan luar bandar termasuk di kedai-kedai runcit.

“Oleh kerana margin jualan beras putih tempatan hanya 50 sen (S$0.15) bagi kampit beras 10 kilogram (kg), kerajaan akan menyalurkan kos pengangkutan kepada FAMA,” katanya dalam sidang media khas di Kuala Lumpur pada Isnin (2 Okt).

Encik Mohamad berkata langkah intervensi tersebut dipersetujui Perdana Menteri Malaysia dalam pertemuan yang diadakan bersama beliau pada Isnin.

Bagi Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 (S$276) setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) mulai 5 Oktober, dengan langkah itu membolehkan BPI diperoleh dengan harga runcit RM31 (S$9) bagi setiap 10 kg.

Beliau berkata tindakan itu diambil kerana pengeluaran beras putih tempatan di kedua-dua negeri itu adalah terhad.

Encik Mohamad berkata semua pembekal akan menggunakan BPI dengan mendapatkan bekalan pada harga borong RM 3,200 (S$931) (harga pintu gudang) dalam kampit 50 kg tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan.

“Terma kontrak perolehan pembekalan beras di bawah agensi Kerajaan sebelum ini termaktub menggunakan beras putih tempatan. Sehubungan itu, kerajaan memutuskan supaya perolehan baharu beras di bawah kontrak kerajaan menggunakan beras putih import,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sudah melancarkan Pasukan Bertindak Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih (OP BPT) pada Isnin, yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

“OP BPT ini akan melibatkan badan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Melalui OP BPT ini, kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh rantaian industri termasuk semua kilang-kilang besar dan stor-stor pemborong beras mulai esok. Sampel beras juga akan diambil di semua kilang dan pemborong beras serta di pasar raya untuk dibuat analisis kimia,” katanya.

Selain itu, Encik Mohamad berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati menukar kampit, atau mencampurkan beras putih tempatan dengan beras putih import, atau menyorokkan beras putih tempatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membuat pembelian cemas, kekal bertenang dan membeli beras mengikut keperluan serta kemampuan masing-masing.

“Sebenarnya jumlah beras yang berada di Malaysia ini tidak kurang, cuma harga beras import itu naik secara mendadak,” katanya.

Semasa ditanya mengenai perkembangan perbincangan antara kerajaan dengan pemerintah India, melibatkan Kementerian Pertanian dan Kebajikan Petani negara itu.

Beliau berkata segala permintaan Malaysia akan dijawab pada minggu ini.

“Perdana Menteri ( Anwar Ibrahim) telah menghubungi Perdana Menteri India Narendra Modi… hubungan kita dengan India amat baik sekali. Insya-Allah kita akan dapat keputusan yang baik pada minggu ini,” katanya.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita