Skip to main content

Dunia

PM Anwar seru segerakan projek naik taraf lapangan terbang, pelabuhan untuk terima pelancong dari luar negara

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Projek penyelenggaraan dan penambahbaikan lapangan terbang serta pelabuhan di Malaysia perlu disegerakan bagi menerima pelancong dari luar negara.

Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim berkata, kemudahan-kemudahan itu perlu cekap bagi mengelakkan kesesakan terutamanya di lapangan terbang di Tawau, Sabah dan Pulau Pinang.

PM Anwar berkata projek naik taraf aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga perlu disiapkan dengan cepat.

Sehubungan dengan itu, PM Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Ketua Pengarah kementerian yang terbabit perlu merujuk Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MoF) bagi melaksanakan segera arahan berkenaan.

“Bukan sahaja (lapangan terbang) di Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Alor Setar (Kedah) dan Kota Bharu (Kelantan) sampai ke Tawau (Sabah).

“Seperti mana kita tahu lapangan terbang di Tawau itu kecil. Tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Kita kena tarik pelancong dari luar.

“Tak boleh nak siapkan atau baiki lapangan terbang dalam tempoh tiga atau empat tahun, tak boleh.

“Oleh sebab itu, saya minta semua kawasan ini disegerakan dan usaha (Menteri MOT) Anthony Loke segerakan hal sedemikian... Lapangan Terbang Tawau dan Pulau Pinang yang dah sesak untuk memudahkan,” katanya di Kuala Lumpur pada Sabtu.

PM Anwar berucap di Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur pada Sabtu (24 Feb), dipetik daripada Astro Awani.

Beliau turut mengingatkan lagi bahawa proses untuk menyegerakan projek-projek berkenaan perlu mengikut prosedur yang ditetapkan dan mengelak daripada amalan lama.

Selain itu, PM Anwar berkata sinergi antara kementerian dan agensi perlu diperhebat bagi memastikan industri pelancongan Malaysia kekal berdaya saing dan lebih berkembang.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita