Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar sekali lagi gesa ASEAN bertindak tegas terhadap Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar sekali lagi gesa ASEAN bertindak tegas terhadap Myanmar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Universiti Filipina pada 2 Mac 2023. (Gambar: BERNAMA)

MANILA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa ASEAN supaya memastikan para pemimpin junta Myanmar dipertanggungjawabkan atas pencabulan hak asasi manusia di negara itu.

Beliau berkata demikian pada Khamis (2 Mac) dalam satu kuliah awam di Universiti Filipina.

Beliau bagaimanapun menambah langkah itu boleh dilakukan tanpa mengecualikan Myanmar daripada perkumpulan serantau itu.

PM Anwar sedang dalam rangka lawatan rasmi dua hari di Filipina di mana beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.

Sebelum ini, PM Anwar membuat gesaan yang sama semasa beliau melakukan lawatan rasmi ke Thailand pada awal bulan lalu.
ASEAN TIDAK PERLU TERIKAT DENGAN PRINSIP: PM ANWAR

Dalam kuliah tersebut, PM Anwar menegaskan bahawa ASEAN tidak perlu terikat dengan prinsip membuat keputusan secara konsensus serta tanpa campur tangan.

Mentelah lagi, tambah beliau, apabila terdapat negara anggota yang secara terang-terangan mencabuli ideal ASEAN sendiri.

"Hari ini, membuat keputusan secara konsensus terus menjadi teras utama ASEAN. Ini bagaimanapun tidak bermakna ASEAN perlu senyap tentang perkembangan dalam negara anggota yang secara meluas menjejas rantau ini atau khususnya negara anggota yang secara terang-terangan mencabuli Piagam ASEAN.

"Secara jujurnya, saya percaya tidak mencampur tangan bukanlah lesen untuk mengambil langkah berlainan," ujar beliau.

PM Anwar turut mendedahkan bahawa Malaysia terjejas dengan teruk oleh 200,000 pelarian yang melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia.

Sungguhpun demikian, Presiden Marcos sekali lagi menekankan betapa pentingnya untuk ASEAN melaksanakan pelan keamanan lima perkara bagi mengharungi krisis di Myanmar.

Lantaran itu, PM Anwar mengatakan ASEAN perlu meneroka cara-cara bagaimana untuk bekerjasama dengan junta Myanmar bagi menghuraikan isu-isu yang berlarutan.

Sejak junta Myanmar merampas kuasa di negara itu, beribu-ribu orang awam terkorban dengan lebih sejuta terpaksa meninggalkan kediaman mereka.

Masyarakat minoriti Muslim Rohingya juga terpaksa melarikan diri ke negara-negara jiran termasuk Malaysia dan Thailand.
Sumber : CNA/RU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan