PM Anwar sedia adakan PRU, 'lawan' BN setelah parti itu beri isyarat untuk bertanding solo
Pakatan Harapan (PH) bersedia meletakkan calon di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan Negeri Sembilan sekiranya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding di semua kerusi semasa pilihan raya negeri akan datang.
Presiden Amanah Mohamad Sabu, Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor di Johor Bahru pada 17 Mei 2026. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)
Ini selepas Barisan Nasional (BN) - rakan dalam kerajaan perpaduannya - mengumumkan hasrat untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Ketika menyampaikan amanat di konvensyen gabungan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya di Johor Bahru pada Ahad (17 Mei), Encik Anwar berkata beliau “tidak terkejut” dengan pengumuman BN itu.
Namun, beliau menambah, jika BN memutuskan untuk tidak bekerjasama di Johor, PH juga bersedia untuk bertanding di semua kerusi pilihan raya negeri bukan sahaja di negeri selatan itu, malah di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang - di samping kemungkinan mengadakan PRU mengejut.
“Hari ini PH mengambil keputusan untuk menjawab dengan tegas. Kalau inilah pilihan mereka (UMNO), PH akan bertanding di semua kawasan di negeri Johor, di Negeri Sembilan, semua kawasan. Dan kita pantau seluruhnya,” kata Encik Anwar.
Meskipun hubungan pimpinan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat masih dalam keadaan harmoni, Encik Anwar berkata beliau akan memanggil pimpinan tertinggi PH dalam tempoh terdekat untuk membincangkan kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa pintu rundingan masih terbuka sekiranya semua pihak mengutamakan kestabilan negara berbanding kepentingan politik sempit.
PH terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Encik Anwar, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) serta beberapa parti komponen kecil lain.
Ia merupakan gabungan utama dalam kerajaan perpaduan Malaysia yang turut dianggotai BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), antara lain.
Konvensyen pada Ahad itu dihadiri sekitar 5,000 perwakilan dan pemimpin parti.
Pada Sabtu, Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi BN negeri tersebut, Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan keputusan partinya untuk bertanding di kesemua kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Dalam satu temu bual baru-baru ini, pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata: “Dalam pilihan raya akan datang, saya hampir pasti kita akan bergerak solo. Namun, kita ambil kira understanding (persefahaman) dengan parti-parti lain (luar BN), khususnya untuk mengelakkan pertindihan kerusi dan pertandingan tiga penjuru.”
Namun dalam ucapannya pada Ahad, Encik Anwar membayangkan bahawa langkah bertanding secara solo di Johor, tanpa bekerjasama dengan PH dilihat seolah-olah satu ancaman yang boleh dianggap sebagai “pengkhianatan” terhadap kerjasama dalam kerajaan perpaduan.
Encik Anwar berkata beliau mengambil pendekatan “membina” dalam mentadbir Malaysia, termasuk melayan negeri-negeri yang dikuasai pembangkang “mengikut semangat perlembagaan”. Namun, itu tidak bermakna PH lemah.
“Tapi jangan salah baca, jangan salah faham, jangan ugut dan jangan ada tindakan ke arah pengkhianatan,” kata Encik Anwar.
“Jika kerajaan perpaduan benar-benar dianggap sudah letih dan lesu, maka marilah kita pulangkan kepada rakyat - bukan sahaja di Johor dan Negeri Sembilan, tetapi di seluruh negara. Saya bersedia.”
Penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa kenyataan Encik Anwar itu dilihat sebagai “retorik politik” menjelang rundingan lanjut antara PH dengan BN, sambil menambah bahawa tidak mungkin beliau akan mengadakan pilihan raya awal buat masa ini.
PH “SEDIA LAWAN”, KATA ANWAR
Dalam ucapannya, Encik Anwar turut menekankan bahawa PH sudah “membuat penyesuaian” terhadap rentak reformasi negara dengan mengambil kira kerjasama bersama BN demi mengekalkan kestabilan kerajaan.
“Kita dengar. Kita buat penyesuaian. Ada program yang terpaksa ditangguhkan selepas mengambil kira semua pandangan. Jika reformasi bergerak pada kelajuan penuh, banyak perkara sepatutnya sudah dilakukan. Tetapi kadangkala kita bergerak dengan cermat kerana kita mahu kekuatan yang kekal kukuh dan kerajaan yang kekal stabil,” kata Encik Anwar.
“Politik mesti stabil. Negara mesti aman. Ini memerlukan kekuatan bersama. Tidak ada sebab untuk kita berpecah belah - melainkan kita dikhianati,” tambah presiden PKR itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.