Skip to main content

Dunia

PM Anwar sambut baik peranan aktif Trump tangani isu Thailand-Kemboja

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan peranan aktif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berkaitan isu sempadan kedua-dua negara.
Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar sambut baik peranan aktif Trump tangani isu Thailand-Kemboja
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, sudah membincangkan perkembangan terkini berhubung Thailand dan Kemboja dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan peranan aktif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berkaitan isu sempadan kedua-dua negara.

Encik Anwar berkata beliau sudah membincangkan perkembangan terkini isu sempadan antara dua negara berjiran itu bersama Encik Trump pada Jumaat (14 Nov) menerusi panggilan telefon.

Beliau turut menzahirkan kesediaan Thailand dan Kemboja untuk terus memilih ruang dialog dan usaha diplomatik sebagai jalan penyelesaian yang ampuh.

"Saya menegaskan bahawa kedua-dua negara telah mengundurkan ketumbukan tentera dari sempadan, seiring dengan pendekatan yang telah disepakati di bawah kerangka Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

"Lantaran itu, saya mengalu-alukan peranan aktif Presiden Trump yang telah turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Thailand demi memastikan apa jua perbezaan ditangani dengan tertib, demi menjamin kestabilan dan keharmonian serantau," kata Encik Anwar menerusi satu catatan di Facebook pada Jumaat.

Media antarabangsa melaporkan pada Isnin, Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan letupan periuk api di sempadan sekali gus meningkatkan lagi ketegangan selepas pertempuran pada Julai.

Empat askar Thailand dilaporkan cedera selepas periuk api jenis PMN-2 meletup semasa rondaan di wilayah Sisaket dengan seorang kehilangan kaki kanan.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur ditandatangani Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Hun Manet, disaksikan oleh Encik Anwar dan Encik Trump, di luar Sidang Puncak ASEAN ke-47.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita