Skip to main content

Dunia

PM Anwar rasmikan projek bina Kota MADANI di Putrajaya

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Khamis (26 Jun) merasmikan projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, satu inisiatif mega berkonsepkan bandar bijak yang mesra rakyat dan alam sekitar.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Anwar rasmikan projek bina Kota MADANI di Putrajaya

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 Jun 2025 11:16AM
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Khamis (26 Jun) merasmikan projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, satu inisiatif mega berkonsepkan bandar bijak yang mesra rakyat dan alam sekitar.

Projek bernilai RM4 bilion (S$1.2 bilion) itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan 'build, lease, maintain and transfer' (Bina-Pajak-Selenggara-Pindah–BLMT), tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Pembangunan itu dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital bijak dan sistem mobiliti hijau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.

Fasa pertama pembangunannya dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.

Projek itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan merealisasikan visi Malaysia MADANI dan konsep bandar CHASE – bersih, sihat, maju, selamat dan mampan.

Kota MADANI dijangka menjadi perintis model pembangunan bandar masa depan di Malaysia yang bakal dicontohi kawasan lain.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita