Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

PM Anwar pertahan pelantikan Nurul Izzah; bertegas tiada kontrak untuk ahli keluarga

Anggaran Waktu Membaca:
PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menegaskan semua anggota Kabinet dilarang memberi gaji atau ganjaran daripada peruntukan kerajaan kepada ahli keluarga jika mahu melantik mereka sebagai penasihat atau pegawai masing-masing.

Perdana Menteri juga menegaskan akan memastikan tiada sebarang pemberian kontrak bernilai jutaan ringgit kepada ahli keluarga kepada mana-mana anggota pentadbirannya sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Beliau mengambil maklum kritikan orang ramai terhadapnya menyusuli pelantikan anaknya Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri, namun Encik Anwar memberi jaminan pemberian kontrak kepada ahli keluarga tidak akan berlaku di bawah pentadbirannya.

"Tentunya saya mengambil pendirian tegas terhadap mereka yang menganugerahkan kontrak bernilai ratusan juta kepada anak, menantu ketika mereka memerintah. Kini, mereka pula mahu bercakap soal tadbir urus baik.

"Namun, saya hormati pandangan rakyat yang secara ikhlas bimbang jika kedudukan disalah guna untuk memperkayakan anggota keluarga mereka.

"Saya beri jaminan ini tidak akan berlaku di bawah pentadbiran saya. Mereka (anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan) tidak boleh berbuat demikian.

"Jika kamu bercakap soal pemberian gaji dan ganjaran, Nurul Izzah tidak mengambil sebarang elaun dan beliau memiliki pengalaman dan kepakaran," katanya semasa sidang media di ibu pejabat PKR pada Selasa (7 Feb), lapor BH Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan terhadapnya menyusuli pelantikan Nurul Izzah sebagai seorang daripada penasihat kanannya, selain apa yang boleh dilakukan bagi menghalang anggota pentadbiran lain menyalahgunakan kedudukan bagi memanfaatkan ahli keluarga masing-masing.

Sebelum ini, media melaporkan, Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, dilantik sebagai penasihat kanan bagi ekonomi dan kewangan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Perdana Menteri kemudian menjelaskan, Nurul Izzah tidak akan menerima sebarang elaun dan beliau sendiri mempelawa anaknya, yang juga mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk membantunya sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan.

Mengulas lanjut, Encik Anwar turut memberi jaminan, Nurul Izzah tidak akan menggunakan kedudukannya sebagai penasihat kanan kepada Perdana Menteri untuk mengayakan dirinya, menurut BH Online.

"Tidak ada langsung kemungkinan untuk beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi proses dan keputusan pemberian tender atau kontrak.

"Ya, saya perlukan khidmatnya untuk membantu saya, namun kedudukannya hanya untuk melindungi dan melaksanakan agenda tatakelola dan mengatasi rasuah dalam sistem," katanya, seperti yang dipetik oleh BH Online.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan