Skip to main content

Dunia

PM Anwar perkenalkan 'Malaysia Madani', angkat semula martabat negara

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Khamis (19 Jan) memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan Malaysia di persada dunia.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Berucap menyampaikan amanat ‘Membangun Malaysia Madani’ di Putrajaya pada Khamis (19 Jan), beliau menyeru semua pihak, khususnya barisan Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam, supaya menerapkan Madani dalam urusan pentadbiran.

“Saya menaruh keyakinan tinggi Malaysia berupaya diangkat semula di persada (dunia)… kita tidak mahu Malaysia tercemar dengan skandal permasalahan dan pertelingkahan.

“Negara Madani angkat martabat negara untuk harus dikenali dan dihormati sebagai negara makmur... tunjuk kekuatan itu,” katanya.

Turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Encik Ahmad Zahid Hamidi dan Encik Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Encik Anwar berkata Madani, istilah yang sudah lama disebut oleh pemikir, mengajak seluruh rakyat Malaysia termasuk kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk mengangkat martabat insan berpaksikan keyakinan, nilai dan akhlak serta tata kelola adil dan berkesan.

Beliau berkata Madani tidak sama sekali akan mengetepikan tonggak mendirikan sistem atau menegakkan sistem yang lebih mampan kepada sebuah negara.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah-langkah yang akan diumumkan menerusi Belanjawan 2023 di Parlimen pada 24 Februari bakal mengembalikan asas seperti mempercepatkan kelulusan dan menghentikan kaedah mendapat komisen yang bukan hak.

“Ini semua boleh menambah keyakinan dengan menegakkan sistem atau negara hukum yang tidak akan memilih bulu dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dan tidak juga menindas atau menekan individu atau puak yang tidak mendukung kita."

“Ini yang disebut sebagai jentera kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar, berfungsi secara optimum dan kita selesaikan isu tata kelola dengan penyelarasan dan koordinasi tapi harus bermula dengan pengurusan atasan,” kata beliau.

Dalam aspek memacu pertumbuhan Malaysia, Encik Anwar menegaskan supaya aspek kemanusiaan sentiasa diambil kira kerana ia antara elemen penting dalam membangunkan negara.

“Peduli tentang gedung pasaran baru tetapi tidak peduli tentang kedudukan taraf gerai rakyat yang miskin… ini contoh elemen ‘karamah insaniah’ yang diremehkan dalam tata kelola kepimpinan."

“Sebab itu pimpinan baik persekutuan, negeri dan daerah, penjawat awam dari peringkat tertinggi dan rendah dalam membincangkan soal pascapertumbuhan atau pasca-COVID, manfaatkanlah pengalaman untuk belajar daripada kelemahan lalu dan bertindak sesuai dengan tuntutan baru,” kata beliau.

Encik Anwar berkata seluruh kepimpinan dalam Kerajaan Perpaduan juga perlu meletakkan asas dan budaya baru dan meninggalkan perkara lampau yang memberi kesan buruk kepada negara.

“Buka pintu hati kita, selamatlah negara kita, negara kita ini pernah menunjukkan potensi yang baik dan pernah tercorot."

“Maka berilah kesempatan untuk anak-anak kita, generasi penerus supaya harapan ini boleh dibina dengan kekuatan yang dimulai sekarang,” kata Encik Anwar.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita